SUKAN

Kelayakan Piala Dunia Hoki Wanita: Speedy Tigress Dibelasah Ireland

03/03/2026 09:18 AM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Pasukan hoki wanita negara memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan langkah kiri apabila tewas 0-5 kepada Ireland, awal pagi tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Santiago, Chile, kedua-dua pasukan dilihat sama kuat apabila seri tanpa jaringan pada suku pertama.

Bagaimanapun, Ireland berjaya membolosi gawang skuad Speedy Tigress pada suku kedua menerusi jaringan padang Kathryn Mullan pada minit ke-21, sebelum Caoimhe Perdue menggandakan kedudukan selang tiga minit kemudian menerusi gol pukulan sudut penalti, sekali gus menutup aksi separuh masa pertama 2-0.

Memasuki babak kedua pasukan Ireland terus membolosi gawang negara apabila menambah dua gol pada suku ketiga menerusi gol padang Sarah Mcauley dan Michelle Carey masing-masing pada minit 34 dan 37.

Roisin Upton melengkapkan pesta gol Ireland apabila menjaringkan gol padang pada minit ke-40 untuk memastikan kemenangan bergaya 5-0.

“Kita bermula dengan baik sebenarnya tadi melawan Ireland. Seketika kita dapat menyekat mereka namun akibat kesilapan diri sendiri dan kurang disiplin dari segi teknikal dan taktikal menyebabkan kita dihukum lawan terutamanya serangan balas daripada Ireland.

“Jadi saya betul-betul mengharapkan pemain segera pulih daripada kekalahan dan kita ada cukup masa 24 jam menjelang perlawanan seterusnya melawan Kanada esok untuk kita guna sebaiknya,” kata ketua jurulatih pasukan hoki wanita, Mohd Nasihin Nubli menerusi video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.

Skuad negara selepas ini akan turun menentang Kanada pada 4 Mac sebelum menamatkan saingan peringkat Kumpulan B menentang Jepun pada 6 Mac.

Berdasarkan format pertandingan dua pasukan teebaik setiap kumpulan iaitu A dan B akan mara ke pusingan separuh akhir.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529724