AM

PM Anwar Ucap Takziah Atas Pemergian Try Sutrisno

02/03/2026 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan seluruh rakyat Indonesia atas pemergian Naib Presiden keenam Indonesia Try Sutrisno pagi tadi.

“Berdukacita yang amat mendalam atas pemergian Wakil Presiden keenam Republik Indonesia Try Sutrisno pada hari ini.

“Bagi pihak Malaysia, saya zahirkan simpati dan takziah yang setulusnya kepada keluarga besar Almarhum serta rakyat Indonesia yang sedang berdukacita atas kehilangan seorang susuk negarawan sejati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bekas Naib Presiden itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 90 tahun, kira-kira 7 pagi waktu tempatan, ketika sedang menerima rawatan di Rumah Sakit Pusat Angkatan Darat (RSPAD) Gatot Soebroto, Jakarta.

Jenazah Try selamat dikebumikan dengan istiadat penuh kehormatan tentera di Taman Makam Pahlawan (TMP) Kalibatadi, Jakarta pada petang Isnin.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529633