EKONOMI

Unit Velesto Energy Peroleh Kontrak AS$157 Juta Daripada Petronas Carigali

02/03/2026 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh tidak langsung Velesto Energy Bhd (VEB), Velesto Drilling Sdn Bhd, telah memperoleh kontrak bernilai AS$157 juta daripada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) untuk menyediakan pelantar penggerudian jenis jack-up bagi tempoh kontrak PCSB 2026-2030.

Penyedia perkhidmatan penggerudian minyak dan gas itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata Velesto Drilling adalah anak syarikat milik penuh Velesto Malaysian Ventures Sdn Bhd, merupakan anak syarikat milik penuh VEB.

VEB berkata ia akan menugaskan pelantar NAGA 2 menerusi Velesto Drilling untuk kontrak penggerudian PCSB, bermula dari Februari 2026 hingga 2030.

NAGA 2 ialah pelantar penggerudian jenis jack-up cantilever berkaki bebas dengan keupayaan kedalaman penggerudian 30,000 kaki dan mempunyai kedalaman air operasi berkadar 350 kaki.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak,” katanya.

Presiden VEB, Megat Zariman Abdul Rahim berkata penganugerahan kontrak itu menandakan satu peristiwa penting bagi syarikat dan permulaan cemerlang untuk 2026.

Beliau berkata keterlibatan selama lima tahun untuk NAGA 2 mencerminkan kemajuan berterusannya dalam memaksimumkan penggunaan aset terasnya dan mengukuhkan keterlihatan pendapatan.

“Kami menghargai kepercayaan diberikan kepada Velesto dan kekal komited untuk memberikan operasi yang selamat dan prestasi konsisten sepanjang tempoh kontrak itu.

“Kontrak ini seiring dengan tumpuan kumpulan ini terhadap pelaksanaan yang berdisiplin merentasi pasaran operasinya di Asia Tenggara dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529632