AM

Isu Hina Agama Perlu Ditangani Secara Tegas, Berhikmah - Mufti Pulau Pinang

02/03/2026 11:30 AM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Sebarang bentuk penghinaan terhadap al-Quran perlu ditangani secara tegas serta berhikmah mengikut saluran undang-undang bagi memastikan keharmonian.

Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata al-Quran ialah kitab suci yang menjadi panduan utama umat Islam dan wajib dimuliakan, justeru perbuatan menghina, merendahkan atau mencemarkannya bukan sahaja menyentuh sensitiviti agama, malah memberi implikasi besar dari sudut syarak.

“Dalam konteks negara ini, selain hukum syarak, terdapat juga peruntukan undang-undang seperti Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman terhadap perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan agama atau mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Sensitiviti Agama: Perspektif Hukum dalam Keharmonian Sosial terbitan Bernama Radio pagi ini.

Mohd Sukki berkata reaksi terhadap sesuatu penghinaan tidak boleh disertai tindakan membuat hukuman sendiri atau menyebarkan kebencian kerana pendekatan itu tidak selari dengan ajaran Islam dan undang-undang negara.

Beliau berkata isu berkaitan kitab suci bukan sekadar melibatkan aspek fizikal, sebaliknya menyentuh soal akidah dan maruah agama, sekali gus memberi kesan mendalam kepada umat Islam.

Mohd Sukki berkata dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, prinsip saling menghormati antara agama perlu dijadikan asas dalam memastikan kestabilan dan perpaduan nasional terus kukuh.

“Sebarang tindakan provokatif yang berpotensi mencetuskan salah faham dan ketegangan perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan berterusan di sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi memupuk nilai hormat terhadap agama serta adab terhadap kitab suci.

Katanya dialog antara agama perlu diperkasa bagi membina persefahaman dan mengelakkan salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian sosial.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk pemimpin agama, media dan masyarakat supaya memainkan peranan meredakan keadaan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan situasi.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529343