KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) - Polis sedang giat mengesan dua lelaki yang melarikan diri selepas bertindak memecut kenderaan dan merempuh beberapa buah kereta awam bagi mengelak pemeriksaan polis di Jalan Nicholas, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata kejadian berlaku pada 10.30 pagi ketika anggota polis sedang menjalankan Ronda Cegah Jenayah sebelum mengesan sebuah kereta jenis Honda Civic dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan berkenaan.
Beliau berkata ketika anggota menghampiri kenderaan tersebut untuk pemeriksaan, pemandu berkenaan secara tiba-tiba memecut laju sehingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Cheras, berhampiran Sunway Velocity Mall.
"Suspek telah bertindak melanggar beberapa buah kenderaan awam yang sedang berhenti menunggu lampu isyarat sebelum dua lelaki yang berada di dalam kenderaan tersebut keluar dan melarikan diri.
"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang ditinggalkan suspek bagaimanapun tidak menemui sebarang barangan terlarang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Lazim berkata setakat ini pihaknya masih belum dapat mengenal pasti identiti kedua-dua suspek yang sedang diburu itu.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
"Selain itu, siasatan turut dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya.
Mohamad Lazim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau lokasi suspek untuk tampil membantu siasatan di balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 10 saat yang memaparkan detik cemas sebuah kereta memandu secara melulu sehingga merempuh beberapa kenderaan lain sambil dikejar oleh beberapa penunggang motosikal yang dipercayai merupakan anggota pasukan keselamatan.
— BERNAMA