DUNIA

Rundingan AS-Iran Capai Persetujuan Mengenai 'Sifar Simpanan' Uranium Diperkaya - Oman

28/02/2026 09:59 AM

ISTANBUL, 28 Feb (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Oman berkata pada Jumaat bahawa rundingan nuklear AS-Iran telah mencapai persetujuan mengenai "sifar simpanan" uranium diperkaya, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik penyiar CBS.

Persetujuan itu merangkumi penurunan tahap simpanan sedia ada ke tahap paling rendah dan menukarnya menjadi bahan api yang tidak boleh diubah di bawah pengesahan penuh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). 

Sayyid Badr Albusaidi memberitahu CBS bahawa beliau yakin "perjanjian damai mampu dicapai" jika diplomasi diberikan "ruang yang diperlukan untuk sampai ke tahap itu."

“Pencapaian paling penting, saya percaya, adalah persetujuan bahawa Iran tidak akan sesekali mempunyai bahan nuklear yang akan menghasilkan bom,” kata Albusaidi, sambil menyifatkan persefahaman itu sebagai "sesuatu yang benar-benar baharu" berbanding perjanjian nuklear sebelum ini yang dirundingkan di bawah bekas Presiden AS Barack Obama.

Beliau berkata rundingan itu telah menghasilkan persetujuan mengenai "sifar pengumpulan, sifar simpanan, dan pengesahan penuh" oleh IAEA, menyifatkannya sebagai satu kejayaan yang menjadikan hujah pengayaan itu "kurang relevan."

Mengenai simpanan sedia ada di Iran, Albusaidi berkata bahawa "terdapat persetujuan sekarang bahawa ia akan dikurangkan kepekatannya ke tahap paling rendah yang mungkin ... dan ditukarkan kepada bahan api, dan bahan api itu tidak akan dapat diubah kembali."

“Saya fikir kita mempunyai persetujuan mengenai perkara itu, pada pandangan saya,” tambahnya.

Albusaidi juga berkata jika perjanjian dimuktamadkan, akan ada "pengesahan penuh dan menyeluruh oleh IAEA," malah pemeriksa AS boleh mendapat akses "pada satu-satu peringkat dalam proses itu" jika perjanjian tersebut dihormati dan tahan lama.

Beliau berkata komponen politik yang luas bagi sesuatu perjanjian "boleh dipersetujui esok," dengan rundingan teknikal dijadualkan di Vienna, manakala pelaksanaan berkaitan simpanan, pengesahan dan akses boleh disiapkan dalam tempoh "90 hari."

“Saya tidak fikir ada alternatif lain selain diplomasi yang akan menyelesaikan masalah ini,” katanya, sambil memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan hanya akan "merumitkan penyelesaian masalah ini dan melambatkannya."

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, AS telah memperkukuh kehadiran tenteranya di Teluk Parsi dan memberi isyarat kemungkinan tindakan ketenteraan untuk menekan Iran supaya meninggalkan program nuklear dan pelurunya serta menyekat "sekutu serantaunya."

Tehran telah menuduh Washington dan Israel sengaja mengadakan alasan untuk campur tangan dan perubahan rejim, serta memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas terhadap sebarang serangan ketenteraan, walaupun terhad, sambil menegaskan bahawa sebarang syarat terhadap program nuklearnya mestilah disusuli dengan penarikan balik sekatan ekonomi ke atas negara itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528675