PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Sebanyak 34 organisasi media yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan (JAPEN) telah menerima pembiayaan berjumlah RM10.3 juta di bawah Dana Inovasi Media bagi Fasa 1, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata dana berjumlah RM30 juta itu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 menerima sambutan menggalakkan daripada organisasi media.
“Sebanyak 50 permohonan telah diterima (menerusi Dana Inovasi Media Fasa 1) dan ia menunjukkan tahap keyakinan dan kesediaan pemain industri untuk bergerak ke arah transformasi yang lebih progresif.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 34 organisasi media telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM10.3 juta,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Fahmi berkata permohonan bagi Dana Inovasi Media bagi Fasa 2 yang dibuka bermula 9 hingga 22 Feb lepas turut menunjukkan momentum positif dengan penyertaan 19 organisasi media.
Beliau berkata permohonan bagi Dana Inovasi Media bagi Fasa 3 akan dibuka bermula 1 Mac sehingga 14 Mac ini.
“Perkembangan (penyertaan) ini memperlihatkan kesungguhan pemain industri untuk terus berinovasi serta menyesuaikan model perniagaan mereka dengan keperluan dan realiti perniagaan semasa,” katanya.
Fahmi menjelaskan dana itu bukan hanya bertujuan memperkukuh keupayaan organisasi media melalui penerapan teknologi baharu, pembangunan kandungan berkualiti serta peningkatan kemahiran tenaga kerja, malah menjadi pemangkin kepada ekosistem media yang lebih mampan, progresif dan berdaya saing.
“Kerajaan yakin inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang kepada organisasi media untuk berkembang dan menyumbang kepada penyampaian maklumat yang tepat berintegriti, beretika dan berkualiti kepada rakyat,” katanya.
-- BERNAMA