EKONOMI

ART: Menteri MITI Akan Berhubung Dengan Rakan Sejawat Dari AS - Fahmi

27/02/2026 05:22 PM

PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan berhubung dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) berhubung implikasi keputusan Mahkamah Agung negara itu dan tarif baharu yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri akan menunggu hasil perbincangan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.

“Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah menyampaikan maklumat terkini (kepada Jemaah Menteri).

“Beliau memaklumkan akan berhubung dengan rakan sejawat dari AS pada minggu depan mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Pada 20 Feb lepas, media melaporkan bahawa Mahkamah Agung itu membatalkan sebahagian besar daripada langkah tarif yang diperkenalkan Trump sebelum ini, dengan memutuskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang AS untuk mengenakan tarif menyeluruh secara unilateral.

Malaysia telah memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) tetapi belum meratifikasi perjanjian itu.

AS adalah rakan dagang utama Malaysia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar kira-kira US$31 trilion.

Pada 2025, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM367 bilion, termasuk RM233 bilion eksport Malaysia ke AS.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528444