DUNIA

Bekas Juruterbang Pejuang F-35 AS Ditahan Kerana Melatih Tentera Udara China

26/02/2026 08:47 PM

WASHINGTON, 26 Feb (Bernama-dpa) -- Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menuduh seorang bekas juruterbang pejuang berpengalaman kerana melatih juruterbang tentera China tanpa kebenaran, lapor Agensi Berita Jerman  (dpa).

Gerald Brown, 65, yang sebelum ini melatih juruterbang AS mengendalikan pesawat pejuang canggih F-35, ditahan di negeri Indiana, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman lewat Rabu.

Pendakwa raya mendakwa Brown melanggar undang-undang kawalan eksport senjata AS, yang memerlukan kelulusan Jabatan Negara untuk memberikan latihan kepada anggota angkatan tentera asing.

Juruterbang “elit” itu mempunyai pengalaman berdekad-dekad menerbangkan pesawat tentera AS dan dituduh  “mengkhianati negaranya dengan melatih juruterbang China untuk bertempur menentang pihak yang beliau bersumpah untuk lindungi,” menurut Jabatan Kehakiman.

Melatih musuh AS adalah “ancaman besar kepada keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar China enggan mengulas mengenai kes itu pada Khamis. Ketika ditanya mengenainya di Beijing, jurucakap Mao Ning berkata beliau tidak mengetahui mengenai situasi itu.

Brown meninggalkan tentera AS pada 1996. Sepanjang kerjayanya dalam Tentera Udara, beliau pernah mengetuai unit yang bertanggungjawab terhadap sistem penghantaran senjata nuklear serta melatih juruterbang tentera AS.

Sebagai orang awam, beliau kemudian menerbangkan pesawat kargo dan melatih juruterbang untuk kontraktor pertahanan AS.

Suspek dijangka hadir di hadapan hakim majistret persekutuan di Indiana pada Khamis.

-- BERNAMA-dpa

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528139