BANTING, 25 Feb (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memulakan siri jelajah ke lima zon meliputi tujuh lokasi di seluruh negara menerusi Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) 2026, dengan Politeknik Banting (Zon Tengah) dipilih sebagai lokasi pertama, semalam.
Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata penganjuran program hingga 13 Mac itu menyasarkan pelajar, petugas serta komuniti kampus bagi memperkukuh hubungan PTPTN dengan institusi pendidikan tinggi (IPT) sambil meningkatkan kesedaran mengenai pembiayaan pendidikan.
“Sebenarnya, pelaksanaan IMRAN telah membuka peluang interaksi secara langsung antara PTPTN dengan pelajar untuk berkongsi maklumat tentang perkhidmatan, pembiayaan pendidikan dan sokongan kebajikan yang menyeluruh.
“Pendekatan turun padang ini membolehkan PTPTN memahami keperluan sebenar pelajar di kampus dan membina kepercayaan terhadap peranan agensi dalam menyantuni komuniti pendidikan,” katanya ketika berucap melancarkan Program IMRAN 2026 di Politeknik Banting, di sini.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN Datuk Seri Abdul Razak Jaafar serta Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Azirin Aziz.
PTPTN selepas ini, katanya, akan menjelajah ke City University (Zon Tengah), Politeknik Ungku Omar (Zon Utara), Politeknik Kota Bharu (Zon Timur), Politeknik Ibrahim Sultan (Zon Selatan), Politeknik Kota Kinabalu dan Universiti Putra Malaysia Sarawak (Zon Borneo).
Sementara itu, aktiviti di Politeknik Banting merangkumi gotong-royong penyediaan juadah berbuka puasa, program kerohanian, sesi kaunseling kewangan serta penglibatan pelajar dan petugas PTPTN secara bersepadu bagi memupuk semangat kerjasama dan ukhuwah.
“Pemilihan Politeknik Banting sebagai lokasi pertama menjadi simbolik permulaan kepada siri jelajah IMRAN sebelum diteruskan ke zon lain bagi menekankan kepentingan keberlangsungan program di seluruh negara.
“Ia juga memberikan peluang kepada warga kampus untuk bergotong-royong dan bersama-sama mengimarahkan Ramadan melalui aktiviti kebajikan dan pengisian rohani,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan IMRAN juga memperkukuh persepsi positif masyarakat terhadap PTPTN, memperluas jaringan kerjasama strategik dengan IPT di setiap zon serta menekankan nilai keprihatinan dan kebersamaan dalam komuniti pendidikan.
Dalam program itu, Norliza turut menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI (BLSM) bernilai RM500 kepada tiga pelajar kurang berkemampuan serta Sumbangan Kit Kasih PTPTN kepada 20 petugas Politeknik Banting yang terpilih.
IMRAN ialah satu daripada acara di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN yang dilaksanakan sejak 2021 dengan visi mengeratkan ukhuwah silaturahim termasuk memupuk nilai kebersamaan dalam komuniti pendidikan tinggi di seluruh negara.
Dalam masa sama, IMRAN turut menjadi platform pembangunan hubungan strategik antara PTPTN, pelajar dan IPT, sejajar dengan moto PTPTN iaitu "Peluang Kejayaan Anda".
-- BERNAMA