AM

Isu Pemilikan Saham Azam Baki: Laporan Siasatan Dijangka Diserah Minggu Depan - Fahmi

27/02/2026 05:55 PM

PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dijangka menyerahkan laporan siasatan kepada Kabinet pada minggu depan, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Khas Siasatan diketuai Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar kini hampir selesai melaksanakan siasatan berhubung perkara tersebut.

“Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Khas Siasatan yang diketuai Peguam Negara hampir selesai proses siasatan dan akan menyerahkan laporan pada minggu hadapan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri hari ini membincangkan secara mendalam isu-isu dakwaan pemilikan saham Azam serta dakwaan penyalahgunaan institusi SPRM bagi tujuan manfaat korporat.

“Berhubung isu dakwaan salah guna institusi SPRM bagi tujuan manfaat korporat, laporan polis telah dibuat dan Polis Diraja Malaysia sedang menjalankan siasatan pada kadar segera.

“Ia untuk mengenal pasti mana-mana pihak yang melanggar undang-undang untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Fahmi berkata Jemaah Menteri bersetuju bahawa isu-isu berbangkit mengenai SPRM adalah amat serius selain mengambil maklum cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Justeru, Jemaah Menteri akan meneliti laporan jawatankuasa siasatan dan mempertimbang tindakan-tindakan susulan termasuk keperluan pelaksanaan siasatan oleh RCI,” katanya.

Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Azam bagaimanapun pada sidang media baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata beliau akan mencadangkan kepada mesyuarat Kabinet supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang dikaitkan Azam itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528442