AM

Label Makanan Bazar Ramadan Mampu Lindungi Pembeli, Cegah Kes Keracunan

25/02/2026 11:56 AM

PONTIAN, 25 Feb (Bernama) -- Amalan meletakkan label tertera perincian seperti bahan digunakan, tarikh dimasak dan maklumat peniaga pada makanan di bazar Ramadan dapat melindungi pengguna serta mencegah kes keracunan makanan.

Pembeli menyokong kaedah itu kerana berpandangan memudahkan mereka untuk memberi maklum balas atau aduan jika makanan dibeli basi atau tidak selamat dimakan. 

Pesara tentera Samsuri Sarip, 68, berkata label yang jelas memaparkan bahan serta masa penyediaan memberi lebih ketelusan kepada pengguna.

“Sekurang-kurangnya kita tahu bila makanan dimasak dan bahan digunakan. Kalau berlaku masalah, mudah untuk rujuk dan buat aduan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bazar Ramadan Stadium Mini Pontian, di sini.

Pembantu jualan runcit Amyza Nur Nasha Omar, 26, berkata langkah itu meningkatkan keyakinan pengguna dan berharap lebih ramai peniaga mencontohi amalan tersebut bagi memastikan keselamatan makanan terus terjamin.

“Bagi saya ini keperluan dan memerlukan perubahan kerana setakat ini saya tidak nampak ada peniaga di kawasan saya yang buat begitu,” katanya.

Sementara itu, peniaga Nor Usma Sapingi, 40, berpandangan langkah itu kurang sesuai dilaksanakan sepenuhnya memandangkan terdapat makanan dimasak secara terus di tapak bazar selain pertimbangan faktor kos tambahan.

“Bagi saya langkah itu bagus, tetapi perlu modal untuk mencetak dan letak pada bekas. Peniaga yang ada modal lebih boleh buat seperti itu,” katanya yang menjual popia di bazar Ramadan sejak lima tahun lepas.

Walaupun begitu, Nor Usma mengakui amalan itu perkara yang baik bagi meningkatkan keyakinan pelanggan dan tidak menolak kemungkinan mempertimbangkannya pada masa akan datang.

Amir Hazwan, 20, yang berniaga nasi beriani lebih setahun di bazar tidak menolak impak positif meletakkan label sedemikian terhadap keyakinan pembeli seterusnya menarik mereka membeli. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Johor (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Kamarudzaman Ahmad berkata setakat ini tiada pelaksanaan atau peruntukan akta yang mewajibkan peniaga bazar Ramadan meletakkan label pada makanan jualan di negeri ini.

Beliau berkata label itu diwajibkan bagi produk makanan siap diproses seperti keluaran pengilang berbanding peniaga di bazar Ramadan yang menyediakan makanan secara terus di tapak jualan.

Bagaimanapun, peniaga digalakkan mengambil inisiatif seumpama itu kerana memudahkan pembeli untuk menghubungi dan mengenal pasti peniaga jika berlaku perkara tidak diingini.

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati setakat ini belum ada peniaga di bazar Ramadan itu yang melaksanakan langkah pelabelan sedemikian.

Sebelum ini, hantaran Facebook akaun menggunakan nama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Labuan menunjukkan peniaga bazar Ramadan mengambil inisiatif meletakkan label pada makanan yang mendapat pujian ramai.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527337