KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Ringgit memulakan urus niaga Rabu dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain, didorong oleh kelemahan dolar AS di tengah-tengah data ekonomi selain peningkatan sentimen risiko global.
Pada 8 pagi ini, ringgit meningkat ke paras 3.8895/9000 berbanding dolar AS daripada 3.8915/8980 pada penutup semalam.
Namun, mata wang dolar AS negara maju itu kekal bertahan apabila Indeks Dolar AS menokok 0.17 peratus kepada 97.874 mata susulan kenyataan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung menaikkan kadar faedah utama serta data ekonomi yang lebih positif, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
“Gandingan dolar AS-ringgit diniagakan melebihi RM3.90 untuk seketika sebelum ditutup pada paras RM3.8948 atau susut 0.11 peratus berbanding penutupan sebelumnya.
“Berikutan itu, ringgit dijangka mendatar hari ini dan berlegar dalam julat RM3.89 hingga RM3.90 (berbanding dolar AS),” katanya kepada Bernama.
Selain itu, ringgit turut diniagakan meningkat berbanding mata wang utama lain.
Ini termasuk mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4944/5014 daripada 2.4968/5011 semalam, naik berbanding pound Britain kepada 5.2489/2631 daripada 5.2531/2619 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5799/5923 daripada 4.5873/5950.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit juga diniagakan pada prestasi yang kebanyakannya mengukuh.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0699/0786 daripada 3.0726/0780, naik berbanding baht Thailand kepada 12.5060/5495 daripada 12.5463/5726, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 231.1/231.8 daripada 231.2/231.7 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.75 daripada 6.74/6.75 sebelum ini.
-- BERNAMA