PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

24/02/2026 10:09 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Selasa, dipengaruhi jangkaan prestasi eksport yang lemah dalam beberapa minggu akan datang, kata seorang peniaga.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata pasaran menjangkakan penurunan jumlah eksport selepas tempoh permintaan bermusim yang kukuh baru-baru ini, yang berpotensi menjejaskan permintaan keseluruhan terhadap minyak sawit Malaysia.

Sentimen pasaran turut dipengaruhi minat belian yang berhati-hati apabila peniaga menunggu petunjuk lebih jelas mengenai data eksport dan paras stok, katanya.

“Kami mengesan paras sokongan melebihi RM4,000 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,180,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata walaupun pasaran dibuka lebih tinggi dengan jurang kenaikan sebelum ini, eksport Februari yang lemah serta ketiadaan minat belian baharu daripada pasaran destinasi memberi tekanan kepada harga minyak sawit.

Ia sekali gus mengakhiri kenaikan awal apabila harga beralih ke wilayah negatif, katanya.

"Intertek Testing Services mengganggarkan eksport minyak sawit bagi tempoh 1–20 Februari sebanyak 863,358 tan, susut 8.92 peratus berbanding anggaran 1–20 Januari, manakala AmSpec menganggarkan eksport sebanyak 779,834 tan, turun 12.62 peratus.

“Sementara itu, Persatuan Pengilang-Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) menganggarkan pengeluaran minyak sawit kilang di selatan Semenanjung merosot 22 peratus bagi tempoh 1–20 Februari,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak Mac 2026 susut RM34 kepada RM4,017 satu tan, April 2026 turun RM33 kepada RM4,048 satu tan dan Mei 2026 merosot RM30 kepada RM4,053 satu tan.

Kontrak Jun 2026 berkurang RM28 kepada RM4,054 satu tan, Julai 2026 menyusut RM22 kepada RM4,052 satu tan dan Ogos 2026 turun RM24 kepada RM4,049 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 67,160 lot daripada 62,122 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka naik kepada 223,235 kontrak berbanding 221,427 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi Mac Selatan susut RM30 kepada RM4,070 satu tan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527250