RENCANA

Kelab Aeronautik SK Gong Nangka Bina Impian Murid Ke Langit Biru

24/02/2026 03:25 PM
Daripada Balqis Jamaluddin

Bagi sekumpulan murid di sebuah sekolah rendah di sini, langit tidak lagi sekadar sebahagian daripada alam ciptaan Tuhan, sebaliknya merupakan satu impian untuk mereka gapai dan jadikan realiti pada usia dewasa.

Impian menjadi polis, tentera ataupun guru disimpan, anak-anak di Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Nangka ini memasang cita-cita untuk meneroka langit biru, dan segala-galanya bermula daripada minat seorang guru terhadap bidang aeroangkasa, khususnya penerbangan. 

Perpindahan dari sebuah sekolah rendah di Jerantut, Pahang ke SK Gong Nangka di sini pada 2014  membuka peluang kepada Syed Hasan Syukri Tuan Hadi, 48, untuk berkongsi minatnya dalam dunia penerbangan dengan murid-murid, yang seterusnya melahirkan Kelab Aeronautik di sekolah itu setahun kemudian.   

“Saya buka peluang untuk anak murid mengenali dunia penerbangan. Dulu, semasa kecil, saya tidak didedahkan kepada bidang ini. Siapa tahu, mungkin kalau saya diberikan pendedahan lebih awal, saya kini bergelar juruterbang, bukan pendidik,” kongsi Syed Hasan Syukri ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

 

INISIATIF SENDIRI 

Bercerita lanjut, anak watan Terengganu yang berasal dari Kampung Tuan Mandak, Kuala Nerus ini, berkata minatnya terhadap kapal terbang timbul semasa mengajar di Jerantut selepas didedahkan kepada dunia tersebut oleh anak saudaranya yang bekerja dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa.  

“Di sekolah lama, saya pernah adakan pameran aeronautik. Hanya pameran sehari, di mana saya turut pertontonkan koleksi replika kapal terbang milik saya. Namun hanya setakat itu.


Anak-anak murid kelihatan amat teruja “mengemudi pesawat” melalui simulator penerbangan ini.

“Selepas berpindah ke SK Gong Nangka, peluang untuk berkongsi tentang dunia penerbangan dengan anak murid terbuka apabila pusat sumber sekolah menyertai pertandingan penarafan pusat sumber. Guru pusat sumber bertanyakan jika saya ada replika kenderaan untuk pameran. Saya pinjamkan koleksi replika kapal terbang dan saya tengok anak murid begitu berminat terhadap replika yang dipamerkan itu,” katanya.

Dari situ tercetus idea beliau untuk menubuhkan kelab aeronautik yang direalisasikan pada 2015.

Tidak cukup sekadar penubuhan kelab, guru subjek Bahasa Inggeris itu melanjutkan langkah dengan membina sebuah simulator pesawat penerbangan menggunakan bahan-bahan terpakai seperti kerusi kereta dan komputer lama di satu sudut di pusat sumber sekolah. 

Syed Hasan Syukri mengeluarkan duit sendiri selain sumbangan daripada beberapa rakan sejawatan serta bantuan pihak luar bagi membina “simulator” itu, yang menelan belanja sekitar RM5,000 berbanding RM20,000 sekiranya menggunakan peralatan baharu, demi memberikan anak murid pengalaman berada di dalam kokpit pesawat.

 

SIMULATOR PESAWAT KEDUA DIBINA

Melihat keterujaan anak-anak murid “mengemudi pesawat” melalui simulator pertama, Syed Hasan Syukri yang kini merupakan penasihat kelab semakin bersemangat, lantas membina sebuah lagi simulator pesawat pada 2022.

Dinamakan ‘GoSim22’, simulator kedua itu juga menggunakan bahan-bahan terpakai namun kos pembinaannya hanya sekitar RM2,000 kerana saiznya lebih kecil.

“Saiz simulator kedua ini lebih kecil supaya mudah untuk kami tanggal dan pasang serta muat untuk diletakkan bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda, kerana kami kerap menerima jemputan menyertai pameran, antaranya di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di Kuala Terengganu,” katanya. 

Meskipun bersaiz lebih kecil, simulator ‘GoSim22’ dibangunkan menggunakan perisian lebih terkini bagi memberi paparan yang lebih jelas dan realistik, sekali gus membolehkan ahli kelab yang digelar “kadet’” merasai pengalaman membawa kapal terbang dengan lebih nyata.

Setiap ahli menjalani sesi di simulator itu selama 15 minit di bawah pengawasan guru.

 

KURIKULUM ALA AKADEMI PENERBANGAN SEBENAR

Syed Hasan Syukri berkata kelab yang berorientasikan pendedahan kepada kerjaya dalam bidang penerbangan itu memperkenalkan murid akan asas-asas penerbangan melalui kurikulum yang sedikit mirip dengan kurikulum di akademi penerbangan. 

“Topik yang dipelajari termasuk Sejarah Penerbangan,Teori Penerbangan, Sistem Pesawat, Meteorologi Penerbangan, Matematik Penerbangan dan Keterbatasan Manusia (Human Limitation). 


Dinamakan ‘GoSim22’, simulator kedua itu juga menggunakan bahan-bahan terpakai namun kos pembinaannya hanya sekitar RM2,000 kerana saiznya lebih kecil.

“Walaupun tajuk-tajuk ini kedengaran berat, kandungannya telah dipermudahkan supaya sesuai dengan keupayaan kognitif murid sekolah rendah dan selaras dengan kurikulum subjek dalam kelas,” katanya, menambah program itu melengkapi kandungan kurikulum sedia ada seperti Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Selepas menamatkan semua modul, ahli kelab akan diuji melalui Ujian Simulator yang memerlukan mereka  “memandu pesawat” dari satu lapangan terbang ke lapangan terbang lain dengan selamat, sambil mematuhi tatacara dan prosedur operasi penerbangan yang telah diajar. 

Selain latihan dan ujian, ahli kelab juga berpeluang melawat lokasi-lokasi berkaitan penerbangan seperti Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus, menara kawalan trafik udara, hangar penyelenggaraan di Sepang, Selangor dan akademi penerbangan di Melaka serta di Kelana Jaya, Selangor. 

“Selain juruterbang dan pramugari, saya mahu murid-murid menyedari bahawa dunia penerbangan mempunyai pelbagai cabang kerjaya, termasuk jurutera dan pakar teknikal lain.

“Besar harapan saya, guru besar dan guru-guru lain untuk melihat anak-anak SK Gong Nangka ini membina kerjaya dalam bidang penerbangan, dan ini tentunya bukan sahaja mampu mengubah nasib mereka yang rata-rata berasal dari kampung dan keluarga B40, malah menjanjikan masa depan lebih cerah,” katanya.

 

DISIPLIN KADET MUDA MENJADI KEUTAMAAN

Sepanjang 11 tahun penubuhannya, Kelab Aeronautik telah merekrut 90 orang ahli yang terpilih dalam kalangan murid Tahun Empat dan Tahun Enam berdasarkan keputusan ujian akhir tahun serta tahap disiplin mereka, membuktikan kelab ini bukan sahaja mengutamakan pencapaian akademik malah keperibadian, komitmen dan kesungguhan murid turut ditekankan.

Setiap tahun hanya 18 hingga 22 murid dipilih menyertai kelab itu, sekali gus menjadi dorongan untuk mereka belajar bersungguh-sungguh dan mengekalkan disiplin diri supaya dipilih menjadi ahli.

 “Kapal terbang ada tarikan semula jadi tanpa perlu bercerita lebih. Tambahan pula ahli kelab pakai uniform ‘pilot’, jadi semua nak bergaya dengan baju ‘pilot’. Tapi kurikulum kelab agak berat, jadi guru hanya tawar kepada murid (yang layak) untuk jadi ahli, dan secara langsung menjadi motivasi untuk yang lain belajar bersungguh-sungguh.

“Melalui penglibatan mereka dalam kelab ini, ahli bukan sahaja belajar asas penerbangan, tetapi juga membentuk disiplin yang tinggi. Mereka ditekankan untuk sentiasa menjaga penampilan, terutama ketika menyarung uniform juruterbang, yang menjadi simbol tanggungjawab dan profesionalisme,” katanya

 

KERJASAMA DAN SUMBANGAN PACU KEJAYAAN KELAB 

Pada masa sama, Syed Hasan Syukri bersyukur kerana beliau tidak bersendirian menjayakan aktiviti kelab seperti latihan simulasi dan ujian penerbangan di sekolah, yang melakar sejarah sebagai yang pertama seumpamanya untuk kategori sekolah rendah di Terengganu itu.

Bukan sahaja rakan-rakan sejawatan yang sentiasa memberi sokongan, malah Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Gong Nangka turut menghulurkan sumbangan termasuk kewangan, demi melihat kelab itu terus berjaya dan cemerlang. 


Selepas menamatkan semua modul, ahli kelab akan diuji melalui Ujian Simulator yang memerlukan mereka “memandu pesawat” dari satu lapangan terbang ke lapangan terbang lain dengan selamat, sambil mematuhi tatacara dan prosedur operasi penerbangan yang telah diajar.

Lebih istimewa, kelab tersebut mendapat bimbingan daripada dua penasihat profesional, iaitu juruterbang yang berkhidmat di syarikat penerbangan terkemuka dan jurutera penerbangan yang berasal dari Terengganu.

“Walaupun kini kedua-duanya bertugas di luar negara, mereka tidak pernah lokek memberi tunjuk ajar dan khidmat nasihat berkenaan kandungan kurikulum teknikal penerbangan di dalam kelab kami secara dalam talian, agar ahli kelab terus mendapat panduan dan ilmu yang relevan,” katanya. 

 

MENJADI INSPIRASI DAN RUJUKAN 

Kini, Kelab Aeronautik SK Gong Nangka bukan sekadar kelab sekolah biasa tetapi menjadi inspirasi kepada murid-murid luar dan rujukan sekolah-sekolah di seluruh negara.

Malah Syed Hasan Syukri serta guru penyelaras kelab Tengku Ahmad Fareez Tengku Abdul Aziz ada kalanya tidak menang tangan melayani tetamu dari sekolah di pelbagai negeri yang datang dengan penuh minat untuk menimba ilmu bagi membangunkan simulator serupa di sekolah mereka.

“Kini, pihak sekolah terpaksa mengehadkan hanya satu lawatan diterima setiap bulan kerana enggan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran guru serta murid yang terlibat,” katanya, menambah pada suatu ketika mereka pernah menerima kunjungan saban minggu. 

Bukan sahaja menerima kunjungan pihak luar, Kelab Aeronautik telah beberapa kali membawa nama Terengganu ke peringkat kebangsaan melalui penyertaan dalam pelbagai program dan acara. 

Selain sering menyertai pameran dan karnival di PSKT,  guru-guru dan ahli kelab turut terpilih menghadiri Konvensyen Kebangsaan Program Transformasi Sekolah 2025 di Melaka dan Festival Guru Kebangsaan pada 2019 di Pulau Pinang. 

 

INGIN CAPAI KEJAYAAN DI LANGIT BIRU

Bagi ahli kelab, peluang menggunakan simulator penerbangan itu bukan untuk bermain atau suka-suka tetapi merupakan titik permulaan buat mereka memburu cita-cita. 

 Nur Airis Rania Nirazmi, 12, berkata dia menyertai kelab tersebut sebagai persediaan untuk mencapai impian menjadi seorang pramugari.

“Banyak yang saya pelajari daripada kelab ini, seperti keselamatan di atas pesawat, cara mendirikan solat ketika dalam penerbangan dan sebagainya.

“Selain itu, dengan melayani kunjungan tetamu dari sekolah lain juga saya dapat mengasah kemahiran komunikasi yang merupakan elemen penting untuk menjadi pramugari,” ujar murid Tahun Enam itu.

Bagi Ahmad Adhwa Azam Almanizam, 12, pula, dia telah menyimpan hasrat menyertai kelab tersebut sejak di Tahun Dua lagi setelah tertarik melihat ahli-ahli kelab memakai pakaian seragam yang kemas dan bersih persis juruterbang sebenar pada setiap hari Selasa. 

“Sebelum menyertai kelab ini cita-cita saya ingin menjadi guru, tetapi kini saya ingin menjadi juruterbang. Walaupun agak mencabar,  saya akan belajar bersungguh-sungguh terutama dalam subjek Matematik dan Sains untuk mengejar impian saya,” katanya.

 

PROGRAM “GO NANG DRONE ACADEMY” 

Sementara itu, Guru Besar SK Gong Nangka Azlan Ali berkata beliau berasa bangga melihat kesungguhan para guru dan murid yang bersama-sama menggerakkan Kelab Aeronautik. 

Malah, katanya, berikutan permintaan tinggi untuk menjadi ahli, kelab tersebut pada tahun ini telah membangunkan program “Go Nang Drone Academy”, yang mendedahkan murid kepada asas penerbangan dron, teknik kawalan, aspek keselamatan serta etika penggunaan peranti tersebut. 

“Buat masa ini, kami belum merekrut ahli secara rasmi, tetapi lima unit dron berspesifikasi sederhana telah dibeli oleh saya sendiri dan guru-guru untuk kegunaan program ‘Go Nang Drone Academy’ ini.

“Kami mahu murid-murid melihat pelbagai cabang kerjaya yang melibatkan penggunaan dron, termasuk bidang fotografi, pertanian pintar dan keselamatan yang semakin mempunyai permintaan tinggi,” jelasnya sambil mendoakan kejayaan setiap anak muridnya dalam menimba ilmu dan menggapai impian.

Pada masa ini SK Gong Nangka mempunyai 464 orang murid.

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526895