KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan pengembangan perniagaan dan pengukuhan perkongsian Ant International dengan syarikat tempatan selaras dengan kerangka untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi serta membina keupayaan dalam meningkatkan tahap ekonomi digital negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman X, berkata demikian susulan kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Ant International Peng Yang bersama delegasinya dalam satu sesi perbincangan, petang tadi.
Anwar berkata perbincangan itu merangkumi tahap kemajuan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia selain bidang seperti pelancongan, perdagangan, teknologi dan bakat bagi syarikat berkenaan.
Ant Group yang bermula dengan perkhidmatan AliPay pada 2004 merupakan syarikat multinasional berpangkalan di China.
Ant International yang beribu pejabat di Singapura pula ialah unit perniagaan antarabangsa di bawah Ant Group, manakala Khazanah Nasional Bhd merupakan pelabur utama serta rakan kongsi bagi Alibaba Group dan Ant Group.
-- BERNAMA