KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Polis sedang mengesan sekumpulan penunggang motosikal yang disyaki membaling mercun ke arah sepasukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika agensi itu melaksanakan operasi di Rawang, Sabtu lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya menerima laporan daripada JPJ berhubung insiden itu yang berlaku kira-kira 10 malam semasa operasi trafik sempena Tahun Baharu Cina berhampiran Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dan kawasan Tasik Puteri.
"Polis sedang mengesan individu terlibat dan kes diklasifikasi mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan kesalahan menyebabkan letupan yang boleh membahayakan nyawa atau harta.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh salurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada Sabtu, anggota JPJ menahan sebuah motosikal setelah didapati penunggang dan pemboncengnya tidak memakai topi keledar selain mempunyai pelbagai kesalahan lain.
Bagaimanapun, ketika anggota JPJ hendak mengeluarkan notis kepada penunggang dan pembonceng motosikal itu, sekumpulan 20 hingga 30 penunggang motosikal lain dipercayai membaling mercun beberapa kali ke arah penguat kuasa JPJ itu.
-- BERNAMA