LANGKAWI, 23 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua vesel nelayan asing (VNA) dari Thailand bersama lima kru yang disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara dekat sini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata kedua-dua vesel ditahan pada 11 pagi ketika bot ronda APMM melakukan rondaan rutin kira-kira tiga batu nautika di barat laut Pulau Langgun.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap vesel terbabit mendapati dua tekong dan tiga kru warga Thailand berusia antara 13 hingga 50 tahun sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.
“Ia merupakan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran. Kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana kru terlibat gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Romli berkata keseluruhan rampasan termasuk vesel dan peralatan menangkap ikan dianggar bernilai RM227,000.
Beliau berkata kelima-lima kru bersama barang kes serta vesel kemudian diiring ke Jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut.
Romli berkata APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan akan terus mempergiat rondaan serta operasi di Zon Maritim Malaysia bagi mengekang kegiatan haram di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis menerusi talian 04-9662 750 bagi tindakan segera.
-- BERNAMA