JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Malaysia Rampas 50 Kg Ganja Di Kuala Perlis

23/02/2026 06:25 PM

KANGAR, 23 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas kira-kira 50 kilogram (kg) ganja dianggarkan bernilai RM150,000 yang dipercayai cuba diseludup masuk melalui laluan laut di kawasan pesisir pantai Kuala Perlis, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata rampasan itu dilakukan anggota Zon Maritim Kuala Perlis ketika melaksanakan rondaan Ops Aman dan Ops Tiris 3.0 selepas menerima maklumat mengenai objek mencurigakan yang ditemukan kira-kira 500 meter dari pesisir pantai.

“Pemeriksaan lanjut menemukan tiga guni plastik mengandungi 49 ketulan daun kering mampat yang disyaki ganja,” katanya pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis, hari ini.

Romli berkata kejadian dikesan pada 2.05 pagi ketika air pasang, dan bungkusan berkenaan dipercayai diletakkan di kawasan berbatu sebagai lokasi pendaratan sementara sebelum diambil pihak penerima di darat.

Beliau berkata sindiket terbabit dipercayai menggunakan bot kecil jenis ‘ekor biawak’ dan beroperasi pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, sebelum meninggalkan bekalan di lokasi terpencil berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand.

“Jika terlepas ke pasaran, bekalan 50 kg ini dipercayai boleh digunakan oleh sehingga 50,000 pengguna, berdasarkan anggaran satu gram bagi setiap pengguna,” katanya, sambil memaklumkan semua rampasan dadah itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526728