SEOUL, 23 Feb (Bernama-Yonhap) -- Ketua pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, pintu masuk utama Korea Selatan, meletak jawatan pada Isnin, dua bulan selepas berlaku pertikaman lidah dengan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung, lapor Agensi Berita Yonhap.
Lee Hag-jae, presiden Incheon International Airport Corp., dimarahi presiden semasa taklimat dasar pada Disember selepas mengelak daripada menjawab soalannya sama ada langkah sewajarnya telah diambil bagi menghalang pelancong mengeksport dolar Amerika Syarikat secara haram dengan menyembunyikan wang kertas US$100 di celah-celah helaian buku.
Ketua yang bakal menamatkan perkhidmatannya itu dilaporkan merancang untuk bertanding sebagai calon Parti Kuasa Rakyat, pembangkang utama, bagi jawatan Datuk Bandar Incheon dalam pilihan raya tempatan pada Jun.
Tempoh perkhidmatannya sebagai presiden dijadual berakhir pada pertengahan Jun selepas dilantik oleh bekas Presiden Yoon Suk Yeol pada 2023.
Majlis perpisahan untuk Lee akan diadakan pada Rabu, menurut syarikat itu.
-- BERNAMA-YONHAP