DUNIA

20 Terperangkap Lima Jam Dalam Lif Tokyo Skytree, Menara Ditutup Isnin

23/02/2026 03:33 PM

TOKYO, 23 Feb (Bernama-Kyodo) -- Sebanyak 20 pengunjung terperangkap dalam lif menara Tokyo Skytree pada malam Ahad selama kira-kira lima jam, lapor Kyodo News.

Pengendali menara berkata fasiliti itu akan ditutup pada Isnin untuk pemeriksaan keselamatan.

Dua lif yang beroperasi antara pintu masuk pada tingkat empat dan ruang meninjau setinggi 350 meter di menara penyiaran tertinggi Jepun itu, yang juga pusat pelancongan popular, terhenti sekitar 8:15 malam Ahad justeru menyebabkan 20 pengunjung dalam salah satu lif terkandas. Tiada kecederaan dilaporkan.

Satu lagi lif dalam menara yang terletak di Wilayah Sumida itu tidak membawa pengunjung.

Kira-kira 1,200 orang turut terkandas di ruang meninjau namun mereka akhirnya dapat turun selepas lif kembali beroperasi.

Pengendali menara itu berkata pihaknya akan menjalankan pemeriksaan lengkap ke atas menara tiu pada Isnin.

- BERNAMA-KYODO

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526608