KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Pengukuhan ringgit dijangka tidak memberi kesan signifikan terhadap prestasi eksport dan imbangan perdagangan negara, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata imbangan perdagangan negara telah meningkat sebanyak 9.2 peratus kepada RM151.8 bilion pada 2025 dan mencatatkan lebihan selama 28 tahun berturut-turut sejak 1998.
“Pengukuhan ringgit mencerminkan asas ekonomi yang kukuh termasuk prestasi eksport yang berdaya tahan, lebihan imbangan perdagangan yang berterusan serta pembinaan permintaan luar yang mampan terhadap barangan dan perkhidmatan di Malaysia.
“Prestasi imbangan perdagangan Malaysia kekal kukuh walaupun ringgit pernah berada pada paras RM3.80 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa pelaksanaan tambatan ringgit pada 1998 hingga 2005,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Mohd Shahar menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengenai sejauh mana pengukuhan ringgit memberi kesan sebenar kepada imbangan dagangan dan daya saing eksport negara.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memberikan penekanan kepada langkah strategik pengukuhan ekonomi bagi memastikan lebihan imbangan perdagangan dapat dikekalkan secara mampan.
“Menerusi RMK13, kerajaan komited untuk meningkatkan kerencaman ekonomi ke arah peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai, dengan penumpuan kepada aktiviti pelaburan dalam industri yang mempunyai pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV) serta sektor berimpak tinggi.
“Kerajaan juga akan meningkatkan keterlibatan Malaysia pada peringkat antarabangsa bagi menarik pelabur dalam sektor strategik serta memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan dagang sedia ada dan ekonomi serantau,” katanya.
Katanya langkah strategik ini dijangka dapat menyokong usaha mengekalkan lebihan dagangan seterusnya mencapai pertumbuhan eksport sebanyak 5.8 peratus setahun dalam tempoh RMK13.
Untuk makluman, nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 14.8 peratus berbanding dolar AS, iaitu RM4.4785 pada 2 Jan 2025 kepada RM3.9015 pada 20 Feb 2026.
-- BERNAMA