AM

Air Naik Dengan Cepat, Pindah Sebelum Air Masuk Rumah - Mangsa

22/02/2026 04:50 PM

TAWAU, 22 Feb (Bernama) -- Penduduk Kampung Tanjung Batu Keramat di sini mengambil inisiatif menyelamatkan diri dengan keluar rumah lebih awal kerana khuatir kediaman mereka yang berdekatan Sungai Tawau dimasuki air berikutan hujan lebat berterusan semalam.

Sia Umbing, 74, berkata dia terjaga daripada tidur pada 10 malam selepas dihubungi anak perempuannya dari Lahad Datu yang meminta dia melihat keadaan di luar rumah pada waktu itu.

“Apabila saya buka pintu, air sudah tinggi di tangga, syukur rumah saya bertiang, kalau saya turun, air  itu memang sampai paras dada. Saya tahu, kawasan ini selalu banjir tetapi keadaan air semalam itu pertama kali begitu, air pasang bertemu hujan lebat, ketika itu saya tinggal bersama dua cucu.

“Saya hanya berdoa sambil menunggu bantuan tiba, bantuan diurus oleh ketua kampung dan kami menaiki perahu bomba ke tempat selamat. Pada 3 pagi tadi kami ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kompleks Sukan Tawau ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sia turut menyifatkan kejadian itu sebagai satu ujian pada Ramadan yang menguji kesabaran selain menzahirkan terima kasih kepada kerajaan kerana membuka PPS dan menyediakan makanan untuk mangsa.

Bagi Arbain Jafar, 69, pula dia serta keluarga segera keluar rumah selepas menyedari air mendadak naik sehingga ke tangga dan keadaan hujan lebat menambah kebimbangan jika tinggal di rumah.

“Banjir belum memasuki rumah tetapi saya bimbang, sebab paras air naik itu tidak sama seperti sebelum ini. Biasanya air naik mencecah dua anak tangga, kemudian turun tapi semalam sedikit lagi masuk rumah, jadi saya risau kalau kami tunggu di rumah sehingga subuh dikhuatiri banjir masuk rumah.

“Jadi semalam saya, isteri serta tujuh anak kami selamat dengan menaiki bot bomba,” katanya.

Arbain berkata pengalaman Ramadan kali ini berbeza kerana bersahur dan berbuka di PPS, sekali gus berdoa keadaan banjir tidak berlanjutan.

Setakat 12 tengah hari tadi, PPS Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau menempatkan 245  mangsa membabitkan 55 ketua isi rumah terjejas banjir di Kampung Tanjung Batu Keramat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526333