GEORGE TOWN, 22 Feb (Bernama) -- Polis merampas pelbagai barangan memproses dan sisa komponen elektronik (e-sisa) bernilai RM3.37 juta dalam serbuan ke atas sebuah premis menerusi Ops Hazard di kawasan Seberang Perai Selatan pada Jumaat lepas.
Komander Bridged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata operasi pada 11 pagi yang dijalankan sepasukan anggota polis melalui Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA telah menahan seorang lelaki tempatan disyaki pemilik premis.
“Operasi dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan sisa plastik dan e-sisa tanpa kelulusan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu telah memasang dan mengendalikan beberapa fasiliti pemprosesan plastik tanpa notifikasi dan kelulusan daripada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Serbuan itu turut melibatkan kerjasama JAS Pulau Pinang, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan.
Balveer Singh berkata dalam serbuan itu, pasukan turut menemukan sejumlah besar e-sisa yang disimpan dalam beg jumbo serta tong dram yang mengandungi cecair minyak tercemar.
Beliau berkata rampasan melibatkan fasiliti dan mesin yang digunakan untuk memproses plastik buangan, tujuh beg jumbo berisi bahan disyaki e-sisa, 20 beg jumbo berisi bahan disyaki sisa campuran e-sisa dan besi skrap, 32 tong dram besi kosong dan sebuah tong dram berisi cecair minyak tercemar dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM3.37 juta.
Menurut Balveer Singh, siasatan awal mendapati premis itu telah beroperasi sejak awal tahun lepas dengan menjadikan ia sebagai lokasi pemprosesan bahan plastik dan penyimpanan e-sisa tambahan tanpa kelulusan pihak JAS dan MBSP.
Beliau berkata suspek juga dikatakan mendapatkan bekalan sisa plastik daripada kilang-kilang semikonduktor di kawasan sekitar dan fasiliti juga didapati digunakan untuk memproses bahan plastik serta bijian plastik yang telah diproses sebelum dieksport ke luar negara.
Kes diserahkan kepada JAS Pulau Pinang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 18 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
-- BERNAMA