JENAYAH & MAHKAMAH

456 Notis Dikeluarkan, 22 Disita Dalam Ops Khas Motosikal - JPJ WPKL

22/02/2026 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengeluarkan 456 notis atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Operasi Khas Motosikal sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Sentul Pasar malam tadi.

Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata dalam operasi itu sebanyak 912 motosikal diperiksa dan 152 daripadanya diambil tindakan termasuk 22 disita.

“Antara kesalahan utama yang dikesan termasuklah lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen, lesen kenderaan motor tamat tempoh, ketiadaan insurans, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan penggunaan cermin gelap yang tidak mematuhi peraturan.

“JPJ Kuala Lumpur menegaskan komitmen dalam memastikan keselamatan jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan, terutamanya semasa musim perayaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Operasi bersepadu dari 8.30 malam hingga 11.30 malam yang mendapat kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik itu turut mengesan 11 penunggang motosikal warga asing iaitu Pakistan (5), Bangladesh (3), Indonesia (2) dan Myanmar (1).

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526248