DUNIA

Kesemua 9 Mayat Mangsa Runtuhan Salji California Ditemukan

22/02/2026 02:31 PM

LOS ANGELES, 22 Feb (Bernama-Xinhua) -- Mayat kesemua sembilan orang yang maut dalam runtuhan salji di California Utara, Amerika Syarikat (AS) awal minggu ini ditemukan, kata pihak berkuasa pada Sabtu, lapor Xinhua.

Pegawai mengesahkan bahawa empat mayat ditemukan pada Jumaat dan lima lagi pada pagi Sabtu. Kesemua mayat dibawa keluar menggunakan helikopter.

Runtuhan salji itu berlaku kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan pada Selasa di kawasan terpencil Castle Peak di Nevada County.

Satu kumpulan seramai 15 orang, termasuk 11 pelanggan dan empat pemandu pelancong daripada Blackbird Mountain Guides, sebuah syarikat pelancongan pedalaman profesional, sedang dalam perjalanan pulang ke pangkal laluan selepas tamat perjalanan ski berpandu selama tiga hari apabila kemalangan itu berlaku, menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Hanya enam orang dalam kumpulan itu terselamat daripada runtuhan salji tersebut, yang merupakan runtuhan salji paling dahsyat di negara itu dalam tempoh lebih empat dekad.

Mangsa yang terselamat, diselamatkan pada petang Selasa selepas pasukan mencari dan menyelamat menempuh keadaan ribut salji selama beberapa jam. Lapan daripada pemain ski itu disahkan maut pada Rabu, manakala mangsa kesembilan dilaporkan hilang dan dianggap telah meninggal dunia sehingga Sabtu.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526279