GAYA HIDUP

Pasangan Punjabi Rai Perkahwinan Dengan Resepsi Gaya Malaysia

22/02/2026 09:05 AM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Majlis perkahwinan serta resepsi makan tengah hari Dr Kajel Kaur Gill dan Jonathan Bhatti pada Hari Valentine atau Hari Kekasih yang lalu, merupakan satu acara cukup unik.

Diadakan di lokasi halal di Ipoh, Perak, majlis itu turut menampilkan persembahan tarian singa Cina, sesuatu yang jarang dilihat dalam majlis perkahwinan Sikh, selain menghimpunkan tetamu daripada pelbagai kaum dan latar belakang agama, mencerminkan keterbukaan pasangan berkenaan terhadap semangat kepelbagaian budaya Malaysia.

Bagi Dr Kajel, 30, yang pernah dinobatkan sebagai Miss Earth Malaysia 2022, sambutan pada 14 Feb itu membawa makna tersendiri.

“Suasananya terasa seperti berada di rumah,” katanya.

Pasangan itu memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan dan resepsi mereka di D’Intan by Chinta Zara Wedding bagi memastikan tetamu daripada semua latar belakang berasa selesa, sekalipun upacara perkahwinan dijalankan mengikut adat tradisi Sikh sebagai menghormati pegangan agama pengantin perempuan.

pic-2

“Rakan-rakan karib dan ahli keluarga saya datang daripada pelbagai latar belakang kaum. Siapa saya hari ini adalah kerana insan-insan yang membesar bersama-sama saya,” katanya kepada Bernama.

Katanya dia memilih resepsi tanpa hidangan alkohol sebagai menghormati lingkungan sosialnya yang berbilang budaya. 

Walaupun kedua-dua mempelai berketurunan Punjabi, mereka berbeza pegangan agama dengan Dr Kajel penganut Sikh sementara Jonathan, 30, beragama Katolik.

Jonathan yang bekerja sebagai juruteknik automotif di Ipoh, berkata kepercayaan merupakan asas perhubungan mereka.

“Kami mengamalkan agama berbeza, tetapi rasa hormat terhadap agama masing-masing sudah memadai buat kami,” jelasnya.

pic-3

Dr Kajel yang bertugas di sebuah klinik di Ipoh, turut senada dan berkata mereka sepakat untuk tidak menukar agama serta merancang mengadakan upacara Kristian di Kuala Lumpur, agar pada masa depan, anak-anak mereka dapat memahami kedua-dua agama dan membesar dengan menghargainya.

Tambahnya, para tetamu teruja dengan persembahan tarian singa selain berasa senang dengan hidangan yang disediakan dan suasana majlis itu.

Pasangan tersebut turut dibantu oleh ramai rakan Melayu mereka dalam menguruskan majlis termasuk mengagihkan cenderahati sambil mengungkapkan frasa Punjabi seperti “Sat Sri Akal” (salam hormat dalam bahasa Punjabi) serta “Ji Aaya Nu” (sama-sama). 

Bagi Dr Kajel dan Jonathan, memilih untuk melangsungkan perkahwinan pada Hari Valentine merupakan satu lagi simbolik cinta yang menyatukan kepercayaan, persahabatan dan budaya dalam cara yang cukup bermakna buat mereka.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526213