DUNIA

NASA Tetapkan 6 Mac Tarikh Terawal Hantar Angkasawan Kelilingi Bulan

21/02/2026 08:42 PM

WASHINGTON, 21 Feb (Bernama-dpa) -- Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menzahirkan keyakinan baharu pada Jumaat selepas ujian darat kedua bagi misi menghantar kru mengelilingi Bulan seawal Mac menunjukkan kemajuan ketara selepas mengalami masalah teknikal pada awalnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pentadbir NASA, Jared Isaacman menerusi hantaran di laman X berkata ujian simulasi pelancaran penuh tanpa pelepasan kedua itu menandakan "langkah besar ke arah kepulangan Amerika ke persekitaran Bulan."

Pengurus NASA, Lori Glaze berkata kerja-kerja pembaikan terhadap isu yang dihadapi semasa ujian terdahulu terbukti berkesan. Menurutnya, hampir semua prosedur selesai seperti yang dirancang dalam tempoh masa yang ditetapkan, walaupun masih terdapat beberapa isu yang perlu ditangani.

Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) itu memaklumkan tarikh pelancaran paling awal kini ditetapkan pada 6 Mac, dengan kru misi dijangka mula menjalani kuarantin pada Jumaat.

Misi Artemis 2 dijadualkan menghantar angkawasan ke kawasan sekitar Bulan buat kali pertama dalam tempoh lebih separuh abad.

Angkasawan AS Christina Koch, Victor Glover dan Reid Wiseman, bersama angkasawan Kanada Jeremy Hansen, dijadualkan terbang mengelilingi Bulan dalam misi yang mengambil masa kira-kira 10 hari itu.

NASA sebelum ini menetapkan sasaran pelancaran tidak lebih awal dari 6 Februari.

Bagaimanapun, semasa ujian simulasi penuh pertama di pangkalan angkasa Tanjung Canaveral pada awal Februari, kebocoran hidrogen dikesan yang memerlukan penggantian bahagian kedap. Ujian susulan yang lebih kecil kemudiannya masih mengalami masalah pengisian bahan api hidrogen, menyebabkan jurutera terpaksa menggantikan sistem penapis.

-- BERNAMA-dpa

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526174