AM

Pendidikan Kunci Tangani Kegusaran Sosial, Jenayah Keluarga - Amirudin

21/02/2026 10:46 PM

SHAH ALAM, 21 Feb (Bernama) -- Kerajaan Selangor terus menekankan kepentingan pendidikan sebagai teras pembentukan masyarakat berdaya tahan susulan kebimbangan terhadap peningkatan kadar jenayah khususnya kes bunuh membabitkan ahli keluarga sendiri.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata perubahan landskap sosial dan tekanan era digital menuntut peranan institusi pendidikan yang lebih menyeluruh bagi membina keseimbangan antara jati diri, nilai kemanusiaan dan keterhubungan global.

"Sebahagian individu berdepan kecenderungan mengasingkan diri dalam konteks masyarakat yang semakin terhubung secara digital, sekali gus mewujudkan jurang kefahaman, empati dan nilai dalam hubungan sosial.

“Antara perkara penting yang ingin saya tekankan ialah usaha kita untuk terus menghubungkan dalam dunia yang semakin terhubung," katanya ketika berucap di hadapan lebih 700 hadirin dalam Majlis Pertukaran Dokumen Program Pendidikan dan Pelancaran Modul Elites Tingkatan Enam sempena Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Selangor Bersama Komuniti Pendidik Selangor di sini hari ini.

Amirudin yang juga Exco Pendidikan negeri berkata beberapa kes pembunuhan membabitkan ahli keluarga sendiri yang dilaporkan baru-baru ini membuktikan bahawa akses kepada maklumat semata-mata tidak menjamin kebijaksanaan, kematangan emosi atau keupayaan membuat pertimbangan beretika.

"Kita hidup dalam ‘dunia terhubung’ (connected world) iaitu segalanya berada di hujung jari, namun tetap wujud jurang. Kita pada masa yang sama mula memilih untuk memisahkan diri. Akses kepada maklumat tidak semestinya menjadikan kita pandai atau bijak.

"Sebab itu anak-anak perlu dididik, pelajar universiti perlu terus dilatih dan generasi muda perlu dipandu dari sudut akademik, kemanusiaan serta nilai-nilai kehidupan. Jika tidak, mereka akan menjadi masyarakat rapuh yang perlu berdepan realiti seperti hari ini yang menunjukkan pelbagai perkara di luar jangkaan dan batas logik,” katanya.

Mengulas kegelisahan dalam kalangan generasi muda, beliau berkata perubahan cara berfikir, interaksi sosial dan gaya hidup akibat pengaruh media sosial memerlukan pendekatan pendidikan yang lebih holistik termasuk pembangunan sahsiah, literasi digital dan pengukuhan nilai murni.

Susulan itu katanya pendidikan kekal sebagai kunci pada kemajuan, perpaduan dan masa depan negeri, justeru semua pihak berkepentingan perlu digembleng secara bersepadu bagi memastikan kualiti pendidikan terus dipertingkatkan demi kesejahteraan masyarakat.

Terdahulu, Amirudin menyaksikan pertukaran dokumen nota persefahaman antara Yayasan Selangor dengan TYMBA Education, DHS Hospitality Academy, ATC College, Taleem (M) Sdn Bhd dan TPIS Almotahida dengan visi memastikan pendidikan (kurikulum dan latihan) sedia ada sejajar dengan keperluan pasaran kerja serta perkembangan teknologi semasa.

Katanya kolaborasi itu berpotensi membuka lebih banyak peluang pendedahan termasuk aspek pendedahan bidang industri kepada pelajar, memperluas program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bimbingan kerjaya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526197