JOHOR BAHRU, 21 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan Bekalan Air Berjadual di Kluang dan Pontian sejak 7 Feb ditamatkan sepenuhnya berkuat kuasa semalam.
Operator air Johor Ranhill SAJ memaklumkan keputusan itu susulan perkembangan positif paras air di Empangan Machap selain loji rawatan air kini kembali beroperasi secara optimum selepas tempoh pemantauan rapi.
“Sehubungan itu, bekalan air terawat telah disalurkan seperti biasa kepada semua pengguna di kawasan terlibat,” menurut syarikat itu menerusi kenyataan.
Ranhill SAJ merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama pengguna sepanjang tempoh pelaksanaan bekalan air berjadual itu.
“Pengguna dinasihatkan terus mengamalkan penggunaan air secara berhemah bagi memastikan kelestarian sumber air dan kestabilan bekalan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Ranhill SAJ memaklumkan pemantauan berterusan akan dilaksanakan terhadap paras empangan dan operasi sistem bekalan air bagi memastikan perkhidmatan kekal stabil.
-- BERNAMA