AM

Banjir: Perak Salur Bantuan Kepada Rumah Anak Yatim Nurul Iman

20/02/2026 06:47 PM

IPOH, 20 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak akan menyalurkan bantuan barangan keperluan harian dan kewangan kepada Rumah Anak Yatim Nurul Iman di Kampung Manjoi di sini yang terjejas teruk akibat banjir Isnin lepas.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi Datuk Asmuni Awi berkata kebanyakan peralatan milik 20 orang anak yatim di situ musnah dan tidak lagi boleh digunakan.

Beliau berkata antaranya pakaian sekolah, kasut, tilam, bantal, cadar, selimut serta beberapa barangan keperluan harian lain.

"Insya-Allah, saya akan berusaha mendapatkan peralatan baharu bagi menggantikan barangan yang rosak agar anak-anak yatim ini dapat meneruskan kehidupan dan sesi persekolahan seperti biasa dalam kadar segera.

"Semoga segala urusan dipermudah dan anak-anak ini terus diberi kekuatan serta perlindungan," katanya dalam kenyataan.

Asmuni turut memuat naik video beliau meninjau Rumah Anak Yatim Nurul Iman di laman Facebook hari ini.

Banjir di Kampung Manjoi dan Kampung Tengku Hussein pada Isnin lepas menyebabkan 26 orang daripada 10 keluarga ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Tengku Hussein, Manjoi pada 17 Feb, sebelum PPS itu ditutup keesokan harinya setelah banjir surut.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2525860