RENCANA

Patin Sungai Perak Miliki Keistimewaan Tersendiri, Kian Digemari

19/02/2026 08:56 AM
Daripada Mohamad Harith Mohamad Nizar

Lebih sinonim dengan Pahang, namun bagi penggemar, ikan patin dari Sungai Perak juga tidak kurang istimewanya. 

Dikatakan mempunyai daging dengan tekstur lebih pejal dan manis tanpa rasa lumpur seperti lazimnya ikan di dalam sangkar, patin atau nama saintifiknya Pangasianodon hypophthalmus yang diternak di sungai itu kian mendapat sambutan, terutamanya ketika Tahun Baharu Cina. 

Sungai Perak yang mengalir sejauh kira-kira 400 kilometer dari Hulu Perak di Banjaran Titiwangsa ke muara di Beting Beras Basah, Bagan Datuk, kaya dengan pelbagai sumber makanan untuk hidupan air berikutan air yang bersih, sekali gus menyediakan habitat sesuai untuk penternakan patin dalam sangkar.

Kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak yang memperkenalkan Projek Ladang Kontrak LKIM Negeri Perak khusus untuk penternakan ikan patin dalam sangkar pada 2023.

 

PROJEK PATIN SUNGAI PERAK

Mengakui patin Sungai Perak masih belum begitu dikenali, Pengarah LKIM Perak Ahmad Zulkifli Ismail berkata berbanding patin, Perak lebih dikenali menerusi ikan lampam, temoleh dan kelabor.

“Namun begitu, patin sebenarnya ikan asal Sungai Perak, cuma spesiesnya tidak sebanyak di Pahang. Tambahan pula, penternakan patin di Sungai Perak berskala kecil dan tidak berpusat, jadi tidak menghairankan jika ada yang tidak tahu tentang patin Sungai Perak,” jelasnya ketika ditemui Bernama di Projek Ladang Kontrak LKIM Negeri Perak Kampung Mandah, Manong, dekat sini baru-baru ini.


Pengarah LKIM Perak Ahmad Zulkifli Ismail berkata berbanding patin, Perak lebih dikenali menerusi ikan lampam, temoleh dan kelabor.

Sehubungan dengan itu juga katanya LKIM Perak mengambil inisiatif menggalakkan penternakan patin dalam sangkar secara lebih tersusun menerusi projek tersebut, yang kini mempunyai tujuh peserta, masing-masing tiga di Parit dan empat di daerah ini.

“Projek ini bertujuan meningkatkan pengeluaran ikan patin tempatan, selain menjamin pasaran buat penternak dan meningkatkan pendapatan peserta melalui model ladang kontrak yang lebih tersusun serta berisiko rendah,” tambah beliau.

Menurutnya, pada 2023, hanya seorang penternak terlibat di bawah projek itu dengan pengeluaran sebanyak 10 tan metrik, dan kini selepas hampir tiga tahun dilaksanakan, pengeluaran patin meningkat sekitar 30 ke 40 peratus setahun.

“Pada 2024, sebanyak 16.2 tan metrik ikan patin dituai, dan pada 2025, pengeluaran meningkat kepada 31.21 tan metrik. Peningkatan ini susulan pelaksanaan projek sama di Kampung Mandah pada tahun berkenaan,” katanya. 

Mengulas lanjut projek ladang kontrak tersebut, beliau berkata antara lain, penternak menerima bantuan peralatan seperti tangki gentian, kereta sorong, tangki dram dan khemah, dengan kos keseluruhan berjumlah RM121,421 sejak 2023.

Di sebalik peningkatan, jumlah pengeluaran patin semasa masih tidak dapat menampung permintaan.

“Di Perak sahaja permintaan terhadap patin ialah antara 70 ke 80 tan metrik seminggu, jadi memang tidak cukup,” katanya. 

Meskipun begitu, tidak semua patin yang dikeluarkan negeri itu hanya untuk pasaran setempat. Sebaliknya kata beliau, patin Sungai Perak turut dihantar ke negeri lain termasuk Lembah Klang, dan ada yang ke Singapura walaupun hanya dalam jumlah kecil

"Oleh sebab itulah kita menggalakkan usahawan menceburkan diri (menternak ikan patin),” tambahnya.

 

BUKAN HARGA KAYANGAN

Ahmad Zulkifli berkata terdapat empat jenis ikan patin yang diternak di Sungai Perak, iaitu patin buah, patin biasa, patin emas dan patin lawang yang dipasarkan di seluruh negara.

"Dari segi harga, patin buah paling mahal iaitu harga runcit RM40 sekilogram, manakala patin biasa RM16 sekilogram, kemudian patin emas dan patin lawang masing-masing RM25 sekilogram," katanya.


Lebih sinonim dengan Pahang, namun bagi penggemar, ikan patin dari Sungai Perak juga tidak kurang istimewanya.

Bagi harga borong pula, ikan patin buah dijual dengan harga RM38 sekilogram, manakala patin biasa RM12 sekilogram, sementara patin emas dan patin lawang masing-masing RM20 sekilogram.

Beliau berkata faktor utama patin buah lebih mahal ialah tempoh yang diambil untuk matang lebih lama, iaitu hampir dua tahun sebelum boleh dipasarkan, sekali gus menyebabkan kos penjagaan tinggi berbanding patin biasa yang mengambil masa hanya setahun sebelum dapat dituai.

 

PATIN KAMPUNG MANDAH ANTARA YANG BERKUALITI

Sementara itu, Zun Kurnain Sahudin, 48, seorang penternak ikan termasuk ikan patin sejak kira-kira 10 tahun lalu, ketika ditemui berkata dari segi penjagaan, ikan patin buah yang paling “manja” dan memerlukan kawalan rapi, menyebabkan harga jualan menjadi lebih mahal.

"Dia (patin buah) kalau kita ganggu, dia kurang makan. Sebagai contohnya, kalau ada orang menjala ikan, orang lalu atas sangkar, bergoyang sangkar itu pun dia dah macam diganggu, dia tidak mahu makan, itu punca dia lambat besar, memakan masa untuk kita boleh pasarkan," katanya.


Patin Sungai Perak turut dihantar ke negeri lain termasuk Lembah Klang, dan ada yang ke Singapura walaupun hanya dalam jumlah kecil.

Bapa kepada enam cahaya mata itu berkata untuk pasaran semasa, ikan patin biasa mendapat permintaan tinggi sehinggakan bekalan tidak mencukupi. Malah pasaran di Kampung Mandah sahaja membabitkan enam tan metrik sebulan.

Permintaan terhadap ikan patin buah pula mengikut musim, dan akan melonjak terutamanya pada musim perayaan Tahun Baharu Cina. 

Menurutnya, pelanggan biasanya tidak kisah dengan harga yang mahal asalkan berkualiti tinggi.

"Biasanya pada musim perayaan Tahun Baharu Cina memang permintaan (ikan patin buah) itu agak tinggi. Memang setiap tahun kita bela patin buah ini khusus untuk Tahun Baharu Cina. Dari segi saiz pula, mereka bukannya nak yang besar, cuma lagi besar lebih elok," katanya, menambah berat ideal ialah satu hingga 1.5 kg.

Dia yang mempunyai 15 sangkar dengan setiap satu mampu menampung kira-kira 2,000 ekor patin pada satu-satu masa, berharap promosi untuk ikan patin dari Sungai Perak dapat dipertingkatkan lagi agar lebih dikenali di seluruh negara.

“Antara kelebihan patin Sungai Perak selain rasanya ialah harga, iaitu lebih murah berbanding negeri lain. Sebagai contoh, harga jualan kita baru RM16 sekilogram (patin biasa), kalau di negeri lain RM22 harga runcit, harga borong kita RM12. Memandangkan kos makanan sekarang ini agak tinggi, itulah saya galakkan supaya lebihkan promosi untuk peningkatan sikit harga jualan.

"Kawasan Manong, Kampung Mandah ini menghasilkan antara ikan dengan kualiti terbaik sebenarnya. Terdapat research (oleh pihak berkaitan), dah check dari segi kualiti ikan sangkar baik dan ikan yang bebas di dalam sungai... memang dari segi kualiti rasa ikan itu antara yang terbaik," katanya yang memberikan pelet dan bahan organik terurai sebagai makanan ikan patin.

Menurutnya, lebih istimewa kedudukan Kampung Mandah yang terletak di tengah-tengah laluan sungai antara bahagian hulu dan hilir menjadikan kawasan itu bebas daripada sebarang sisa dan mempunyai kualiti air yang terbaik.

Dalam pada itu, Zun Kurnain berkata Projek Ladang Kontrak LKIM Negeri Perak membantunya meningkatkan pengeluaran ikan, sekali gus menambah pendapatannya.

“Sebelum saya sertai ladang kontrak LKIM ini, hasil cuma sekitar 3.5 tan metrik bernilai RM35,000, tapi selepas itu saya berjaya menuai sebanyak 16.65 tan metrik ikan dengan nilai jualan RM146,195,” katanya, menambah 70 peratus daripada pendapatannya disumbangkan oleh jualan ikan patin.

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2525312