KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Umat Islam di negara ini diseru memanfaatkan Ramadan 1447H sebagai "madrasah" untuk mendidik jiwa dan memperkukuh ketakwaan di samping mengamalkan kesederhanaan dengan mengelakkan pembaziran makanan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Ramadan ialah bulan untuk melipatgandakan ibadah, memperbanyakkan taubat dan meninggalkan segala keburukan demi mencapai darjat ketakwaan di sisi Allah SWT.
“Manfaatkanlah setiap detik Ramadan ini untuk membersihkan hati, memperbaiki amal dan memperkukuh hubungan sesama insan.
“Semoga Ramadan kali ini menjadikan kita hamba yang lebih bertakwa dan istiqamah dalam kebaikan, bukan sahaja sepanjang bulan mulia ini, tetapi juga selepas ia berlalu,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Senada dengan beliau, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan umat Islam bahawa Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sebaliknya ruang memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada-Nya dengan penuh keinsafan.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau mengajak umat Islam untuk memperbanyakkan sedekah bagi membantu golongan memerlukan selain dapat membersihkan hati daripada sifat kedekut dan cintakan kebendaan.
Fadillah turut menzahirkan kebimbangan terhadap trend pembaziran makanan yang dilaporkan meningkat antara 15 hingga 20 peratus pada setiap Ramadan.
“Bulan Ramadan mengajar kita erti kesederhanaan, jadi belilah juadah berbuka mengikut keperluan, bukan mengikut hawa nafsu, bagi mengelakkan sebarang pembaziran.
“Marilah kita menyambut Ramadan dengan azam dan doa: agar setiap amalan diterima, setiap dosa diampuni, dan setiap langkah kita dipimpin menuju reda Ilahi,” katanya sambil mendoakan agar seluruh umat Islam dikurniakan kekuatan dan keberkatan sepanjang menjalani ibadah puasa.
-- BERNAMA