KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK), Australia, Singapura dan Brunei, Datuk Salim Hashim, 76, meninggal dunia pada Rabu.
Anak saudaranya, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, dalam hantaran Facebook berkata diplomat veteran itu meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Serdang, Selangor.
Salim dikebumikan di tanah perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya, sebelum 4.35 petang selepas solat jenazah.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, dalam hantaran di media sosial, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarganya.
“Salam takziah buat keluarga Allahyarham Datuk Haji Salim Haji Hashim daripada seluruh warga Wisma Putra. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman,” menurut kementerian itu.
Salim, yang menyertai Kementerian Luar sebagai penolong setiausaha pada 1973, mempunyai kerjaya yang luas dan cemerlang dalam perkhidmatan diplomatik.
Beliau berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Brunei dari 1994 hingga 1997, diikuti penugasannya ke Singapura dari 1997 hingga 2001.
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke UK dari 2001 hingga 2002 dan kemudian ke Australia dari 2005 hingga 2007.
Dilahirkan di Segamat, Johor, Salim dikenang atas dedikasi dan sumbangannya kepada perkhidmatan diplomatik Malaysia.
-- BERNAMA