JOHOR BAHRU, 17 Feb (Bernama) -- Dakwaan mengaitkan gangguan bekalan air di Pontian dan Simpang Renggam dengan pembangunan pusat data adalah tidak berasas serta fitnah, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Beliau berkata tiada pusat data menerima bekalan air di kawasan Simpang Renggam dan Benut, selain kawasan itu bukan lokasi pembangunan fasiliti berkenaan.
“Bekalan air bagi kawasan Simpang Renggam dan Benut disalurkan melalui Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam, yang memproses air mentah dari Sungai Ulu Benut dengan sokongan sumber dari Empangan Machap. Keupayaan maksimum loji itu adalah 64 juta liter sehari (MLD),” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata gangguan bekalan air berjadual yang dilaksanakan ketika ini berpunca daripada penyusutan paras sumber air mentah akibat kemarau berpanjangan.
Walaupun telah berlaku hujan, katanya paras air sungai serta empangan masih belum kembali ke tahap optimum.
Mohamad Fazli berkata bagi membolehkan LRA Simpang Renggam beroperasi pada kapasiti penuh 64 MLD menggunakan empat pam, paras air di muka sauk Sungai Benut perlu melebihi 4.90 meter.
“Ketika ini, paras air direkodkan 4.66 meter, iaitu masih di bawah tahap operasi optimum. Keadaan ini mengehadkan penggunaan pam sepenuhnya dan menjejaskan pengeluaran air terawat, sekali gus memerlukan pelaksanaan bekalan air berjadual bagi memastikan agihan yang lebih adil dan seimbang kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata sebagai langkah mitigasi segera, kerajaan negeri bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan utama termasuk Empangan Upper Layang, Empangan Pulai dan Empangan Machap bagi meningkatkan peluang hujan dan mempercepat pemulihan paras air mentah.
Menurut Mohamad Fazli, Kerajaan Negeri Johor komited memastikan kestabilan bekalan air untuk rakyat, di samping memastikan setiap pembangunan industri di Johor dilaksanakan secara terkawal, berhemah dan bertanggungjawab.
“Orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada maklumat rasmi daripada pihak berkuasa dan tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan serta keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA