ALOR SETAR, 17 Feb (Bernama) -- Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Kampung Gelam, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata sebelum kejadian, mangsa yang juga pelajar tingkatan lima pergi ke sungai berkenaan bersama empat lagi rakannya.
“Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, mangsa bersama rakan-rakannya dari Taman Derga Jaya datang ke sungai itu untuk mandi. Ketika sedang mandi, rakannya menyedari mangsa lemas dan kemudiannya tenggelam.
“Rakannya cuba menyelamatkan mangsa, namun mangsa tenggelam di bahagian tengah sungai berkenaan, lalu mereka meminta pertolongan orang awam untuk memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.20 petang, dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menemukan mangsa pada 6.41 petang.
“Pemeriksaan ke atas mayat mendapati tiada kesan kecederaan. Bagaimanapun, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk proses bedah siasat yang dijangka dijalankan pada 10 pagi esok,” katanya.
-- BERNAMA