KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Perenang muda negara Tong Yu Jing diingatkan supaya mengekalkan prestasi sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Julai ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2025 itu berkata meskipun teruja menyambut Tahun Baharu Cina, jurulatihnya tetap menggalakkannya untuk terus berlatih dan memperbaiki teknik bagi memburu catatan masa lebih pantas.
“Sebelum ini, saya akan meluangkan banyak masa bersama keluarga ketika Tahun Baharu Cina, tetapi kali ini jurulatih meminta saya terus berlatih setiap hari.
“Mungkin saya akan berenang pada waktu pagi, menghadiri majlis bersama keluarga, kemudian kembali menjalani latihan, tidak boleh berhenti,” katanya kepada Bernama.
Perenang kelahiran Pulau Pinang itu mengesahkan tempat ke Sukan Komanwel 2026 susulan prestasinya pada awal tahun ini.
Yu Jing mencuri tumpuan di kolam renang pada Sukan SEA Thailand apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 50 meter gaya bebas, sekali gus merangkul pingat gangsa.
Perenang berusia 20 tahun itu mencatat masa 22.48 saat (s), sekali gus memadam rekod kebangsaan sebelum ini, 22.91s, yang dilakukan oleh Bryan Leong, satu pencapaian yang diakuinya tidak dijangka.
Yu Jing berkata beliau bertekad untuk meningkatkan prestasi dan meletakkan sasaran untuk memperbaiki masa sekurang-kurangnya 0.1s.
Beliau berkata di sebalik jadual latihan yang padat, beliau masih akan meluangkan masa untuk meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga, biarpun secara sederhana, sambil mengekalkan fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi Sukan Komanwel.
-- BERNAMA