KUALA TERENGGANU, 16 Feb (Bernama) -- Sebanyak 503 pegawai dan anggota polis kontinjen Terengganu ditugaskan sepanjang Op Selamat 25/2026 sempena Tahun Baharu Cina yang bermula semalam hingga 20 Feb ini.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata kira-kira 350,000 kenderaan turut dijangkakan memasuki negeri ini bersempena musim perayaan itu dan sambutan awal Ramadan minggu ini.
“Penguatkuasaan undang-undang akan ditingkatkan terutama di 23 lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kesesakan dan 22 kawasan sering berlaku kemalangan maut,” katanya pada majlis pelancaran operasi berkenaan di Plaza Tol Gemuruh di sini hari ini.
Beliau berkata bagi menangani kesesakan, pihaknya menubuhkan 'Jammed Squad' terdiri daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk dikerah ke lokasi yang mengalami kesesakan luar jangka.
Mohd Khairi berkata pada Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina 2025, Terengganu merekodkan 170 kes kemalangan yang melibatkan satu kematian.
“Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) juga akan menjalankan rondaan harian di rumah dan premis yang ditinggalkan menerusi URB, Unit Kereta Peronda (MPV) dan balai.
"Setakat ini, polis telah menerima 27 pendaftaran melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di seluruh negeri untuk dipantau serta dipastikan keselamatan," katanya.
Mohd Khairi berkata sembilan lokasi di tiga daerah dikategorikan sebagai kawasan kerap berlaku kes jenayah harta benda iaitu Chukai, Ayer Jernih, Kijal, Gong Badak, Manir, Cabang Tiga, Jertih dan Kampung Raja.
Sementara itu, Pengurus Wilayah Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Mohamad Pazli Kasim berkata pihaknya telah membuka dua lorong tambahan di Plaza Tol Gemuruh untuk melancarkan perjalanan trafik, sejak Sabtu lepas.
Beliau berkata khidmat 200 anggota pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut digunakan di lokasi strategik termasuk Hentian Rehat dan Rawat (R&R) bagi membantu orang ramai serta mengelak kesesakan.
"Kita juga telah membuat penambahan unit rondaan dan lima trak tunda sekiranya berlaku kemalangan di LPT2," katanya.
-- BERNAMA