AM

KKR Gesa Percepat Projek Prapembinaan Kerajaan

15/02/2026 08:04 PM

PONTIAN, 15 Feb (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) menggesa semua kementerian dan jabatan berkaitan mengadakan perbincangan segera bagi mempercepatkan proses prapembinaan projek kerajaan di seluruh negara bagi mengelakkan sebarang kelewatan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata setakat ini sebanyak 1,249 projek masih berada dalam fasa prapembinaan, melibatkan perancangan, reka bentuk dan proses perolehan.

“Prapembinaan ini bermaksud tiada kerja fizikal dijalankan di tapak, kontraktor belum dilantik dan Surat Setuju Terima (SST) belum dikeluarkan. Statistik menunjukkan 855 projek masih dalam perancangan, 93 projek dalam fasa reka bentuk, manakala 229 projek sedang dalam proses perolehan.

“Oleh itu, KKR mengarahkan semua pihak terlibat duduk bersama untuk mempercepatkan projek prapembinaan supaya pembinaan dapat dijalankan dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Pontian di sini hari ini.

Beliau berkata kelewatan sebenar tidak hanya berlaku pada peringkat pembinaan, tetapi banyak projek berdepan kekangan pada fasa prapembinaan, termasuk proses penilaian nilai (VA) dan penilaian kejuruteraan (VE).

“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan kerana rakyat menanti kemudahan seperti hospital, sekolah dan infrastruktur asas disiapkan segera. Jika fasa prapembinaan lambat, pembinaan juga akan tertangguh,” katanya.

Selain itu, Ahmad memaklumkan setakat ini terdapat 855 projek rentas kementerian sedang dilaksanakan, dengan 255 projek berada di fasa baik (ahead of time), 273 mengikut jadual, 289 lewat jadual dan 35 projek bermasalah.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524473