JOHOR BAHRU, 15 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan menyediakan 40 unit rumah baharu di tapak rizab Orang Asli dekat Kuala Masai, di sini untuk menempatkan penduduk Kampung Orang Asli Teluk Jawa termasuk yang terjejas akibat kebakaran, Khamis lepas.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor Faisal Long berkata kawasan seluas 2.02 hektar berdekatan laut itu dilihat bersesuaian untuk masyarakat Orang Asli suku Seletar itu.
"Sebanyak 40 keluarga melibatkan 143 penduduk akan dipindahkan terdiri daripada 30 yang terjejas akibat kebakaran dan 10 tidak terjejas," katanya.
Faisal berkata pada sidang media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Megah Ria di sini hari ini yang menempatkan mangsa kebakaran itu.
Beliau berkata pembinaan rumah sementara juga akan dilaksanakan, namun bergantung kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah bersama agensi berkaitan yang akan diadakan esok.
"Jadi, (sekiranya dipersetujui) mungkin kita sasarkan dalam masa satu atau dua minggu, rumah (sementara) tersebut akan siap dan mereka akan pindah ke sana (penempatan baharu),” katanya.
Beliau berkata perpindahan itu sekali gus dapat memperkukuh hubungan dan memastikan penduduk Kampung Orang Asli Teluk Jawa serta komuniti Orang Asli di Kuala Masai dapat berasimilasi.
Langkah itu juga, katanya dapat memudahkan urusan pentadbiran serta memastikan pembangunan dan penyediaan kemudahan termasuk aspek kesihatan dan kebajikan.
"Semoga dengan bantuan tersebut akan memberikan semangat kepada masyarakat Orang Asli ini untuk membina kehidupan baharu," katanya.
Terdahulu, kebakaran yang berlaku di Kampung Orang Asli Teluk Jawa memusnahkan 30 kediaman dan menyebabkan 117 penduduk kehilangan tempat tinggal.
-- BERNAMA