IPOH, 15 Feb (Bernama) -- Program Rehlah Islahiyah selama tiga hari di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk berakhir hari ini dengan penuh penghayatan dan pengisian yang sangat bermakna untuk seluruh jemaah melibatkan tarbiah, ukhuwah dan islah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bersyukur kerana berpeluang bersama jemaah dalam suasana tarbiah yang menyatukan hati, menghidupkan ukhuwah serta menguatkan kembali hubungan masing-masing dengan Allah SWT.
"Apa yang lebih penting, rehlah (perjalanan) ini menjadi medan untuk memperkukuh adab, membina kesatuan jiwa, dan menyuburkan semangat islah dalam kehidupan bermasyarakat dan amalan seharian serta memulih kerinduan para jemaah untuk berada dalam majlis ilmu dan ibadah yang menenangkan.
"Saya turut tersentuh apabila Maulana Wan Hilmy Wan Mohamed semasa sesi Ta’lim Muzakarah yang mengingatkan para jemaah tentang kepentingan adab, keikhlasan, serta usaha berterusan untuk memperbaiki diri dan menjaga hubungan sesama manusia," katanya dalam hantaran menerusi laman sosial.
Justeru, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak dalam menjayakan program tersebut termasuk 60 peserta konvoi bermotosikal.
"Semoga segala amal ibadah dan setiap pengisian ilmu yang dilalui sepanjang program ini diterima Allah SWT.
"Mudah-mudahan Rehlah Islahiyah menjadi titik kekuatan untuk para jemaah terus istiqamah, memperbaiki diri dan membawa nilai-nilai kebaikan ini pulang ke dalam kehidupan, keluarga dan masyarakat. Insya-Allah," katanya.
-- BERNAMA