AM

Program Tuaian Serentak Estet Kerang Johor Terima Pengiktirafan Malaysia Book Of Records

14/02/2026 06:54 PM

MUAR, 14 Feb (Bernama) -- Program Tuaian Serentak Projek Estet Kerang Negeri Johor 2026 mencatat sejarah tersendiri apabila meraih pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records, sekali gus mengangkat industri kerang negeri itu ke pentas nasional.

Pengerusi  Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata program itu yang diselaraskan oleh Jabatan Perikanan Negeri Johor bersama komuniti nelayan di tujuh lokasi di tiga daerah iaitu Pontian, Batu Pahat dan Tangkak berjaya menuai lapan tan kerang segar.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, kira-kira 4.25 metrik tan kerang diagihkan secara percuma kepada orang awam, manakala 2.75 metrik tan dipasarkan sendiri oleh peserta projek.

Projek Estet Kerang Negeri Johor itu, katanya, merupakan inisiatif strategik kerajaan negeri bersama Jabatan Perikanan bagi memperkasa sosioekonomi nelayan Zon A Pantai Barat Johor melalui ternakan kerang secara terancang, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan yang lebih stabil dan berdaya tahan.

"Kerajaan negeri pada 2023 telah meluluskan 93 lot dengan saiz 30 hektar setiap lot, pada kadar Lesen Pendudukan Sementara (LPS) serendah RM50 sehektar.

"Projek ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila sehingga 2025, sebanyak 17 lot telah dibangunkan melibatkan 137 peserta, dan 11 lot baharu diluluskan pada 2026, melibatkan 49 peserta dalam kalangan nelayan," katanya menerusi hantaran di laman facebook beliau hari ini.

Zahari berkata bagi memastikan pelaksanaan projek yang berterusan, sejak 2023, lebih RM2 juta diperuntukkan, termasuk RM300,000 pada tahun ini bagi kerja pembersihan dasar, pembenihan, pendedahan dan latihan kepada penternak, selain penyediaan peralatan serta fasiliti pasca tuai. 

Inisiatif tersebut menunjukkan hasil positif apabila jumlah pengeluaran meningkat kepada 676.9 metrik tan bernilai RM4.84 juta pada 2025, meningkat 67 peratus berbanding 2024 dan bagi 2026, sasaran ditetapkan kepada 815 metrik tan.

Beliau berkata selaras dengan Agenda Maju Johor projek itu dijangka menyumbang kepada peningkatan pengeluaran akuakultur negeri, merancakkan ekonomi setempat serta meletakkan Johor sebagai Hab Pengeluaran Kerang-Kerangan Negara.

"Selain itu, pelbagai aktiviti hiliran seperti agropelancongan dan industri makanan berasaskan kerang turut berpotensi dibangunkan.

"Justeru, kerajaan negeri menyeru lebih ramai nelayan di Zon A Pantai Barat Johor untuk menyertai projek ini dan memanfaatkan peluang yang disediakan bagi meningkatkan pendapatan serta kemahiran dalam industri akuakultur," katanya.

--BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524143