AM

Program Agro MADANI Sasar Jualan RM75 Juta Tahun Ini - FAMA

14/02/2026 05:08 PM

JASIN, 14 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan RM75 juta menerusi penganjuran Karnival dan Program Jualan Agro MADANI yang akan dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarahnya Abdul Rashid Bahri berkata sasaran itu meliputi kira-kira 5,000 program jualan serta 14 karnival di 14 lokasi di seluruh negara, membabitkan penyertaan sekitar 52,000 usahawan.

Beliau berkata, tahun lalu FAMA menetapkan sasaran nilai jualan dan pelaksanaan program yang sama, namun berjaya menganjurkan 5,700 program dengan nilai jualan mencecah RM127 juta, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Berdasarkan pencapaian sebelum ini, kita optimis sasaran RM75 juta tahun ini mampu dicapai, malah berpotensi melebihi sasaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Agro MADANI peringkat negeri yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Orang Kampung, Merlimau, hari ini.

Program itu disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata bagi penganjuran di Melaka yang bermula semalam, pihaknya menyasarkan kehadiran 26,000 pengunjung dengan nilai jualan RM780,000.

Beliau berkata, karnival di Merlimau itu melibatkan 88 usahawan tempatan dengan penyediaan 105 lot jualan, sekali gus membuka peluang pasaran lebih luas kepada pengusaha kecil dan sederhana untuk memasarkan hasil agromakanan secara terus kepada pengguna.

Beliau berkata pelaksanaan berskala besar itu bertujuan memastikan bekalan barangan agromakanan sentiasa mencukupi, mudah diperoleh dan ditawarkan pada harga berpatutan kepada pengguna, khususnya menjelang musim perayaan.

Sementara itu, beliau berkata sebagai inisiatif berterusan FAMA sempena program Pra-Ramadan dan Pra-Syawal bagi Februari dan Mac ini, sebanyak 572 program jualan akan dilaksanakan di seluruh negara, membabitkan 430 program di outlet FAMA dan 142 program di lokasi bukan outlet FAMA.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524062