KAJANG, 14 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mempergiat operasi penguatkuasaan dan pemantauan di bazar Ramadan seluruh negara bagi memastikan premis perniagaan bebas daripada penglibatan pendatang tanpa izin.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Datuk Lokman Effendi Ramli berkata langkah itu bertujuan memastikan tiada warga asing yang menjalankan perniagaan atau diupah bekerja tanpa permit yang sah.
"Penguatkuasaan akan diteruskan dan tidak akan berhenti walaupun pada bulan Ramadan. Kita akan mempergiatkan pemeriksaan di kawasan bazar Ramadan bagi memastikan ia bebas daripada penglibatan pendatang tanpa izin, sama ada sebagai peniaga atau pekerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Op Selera di Bandar Sungai Long di sini malam tadi.
Lokman Effendi turut mengingatkan majikan supaya tidak menggaji atau melindungi warga asing yang melanggar undang-undang bagi mengelakkan mereka berdepan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Mengenai statistik keseluruhan, beliau berkata bagi tempoh 1 Jan hingga semalam, JIM telah melaksanakan 1,700 operasi penguatkuasaan di seluruh negara, melibatkan pemeriksaan terhadap 27,000 warga asing.
“Daripada jumlah itu, 6,200 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dengan pecahan tangkapan tertinggi membabitkan warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh dan China.
“Dalam tempoh sama, 230 majikan turut ditahan kerana melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi di sebuah kawasan perniagaan di Sungai Long malam tadi, 51 warga asing ditahan selepas pemeriksaan dilakukan ke atas 463 individu.
Lokman Effendi berkata tangkapan melibatkan 40 lelaki dan 11 wanita berusia 21 hingga 36 tahun, terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa serta penyalahgunaan pas atau permit, termasuk pemegang permit sektor perladangan yang dikesan bekerja sebagai pelayan restoran.
"Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen KLIA untuk tindakan lanjut," katanya.
-- BERNAMA