DUNIA

BNP Peroleh Majoriti Dua Pertiga Dalam Pilihan Raya Parlimen Bangladesh

13/02/2026 10:37 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 13 Feb (Bernama) -- Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) memenangi majoriti dua pertiga dalam parlimen Bangladesh susulan pilihan raya umum pada Khamis, menurut keputusan tidak rasmi pada Jumaat.

BNP dan sekutunya memenangi 213 kerusi dalam Jatiya Sangsad yang mempunyai 300 ahli, manakala saingan perikatan yang diketuai oleh Jamaat-e-Islami memperoleh 76 kerusi, mengikut kiraan sementara yang diterbitkan oleh media tempatan.

Suruhanjaya Pilihan Raya Bangladesh dijangka mengumumkan keputusan rasmi kemudian.

Dengan jangkaan BNP kembali berkuasa, landskap politik Bangladesh kini memasuki era baharu.

Pemimpinnya yang berusia 60 tahun, Tarique Rahman, iaitu anak kepada bekas Perdana Menteri Khaleda Zia dan bekas Presiden Ziaur Rahman, pulang ke Bangladesh dari Britain pada Disember selepas 17 tahun hidup dalam buangan.

Kedua-dua parti BNP dan Jamaat-e-Islami sebelum ini berhadapan tindakan keras di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina yang tidak popular, dan berakhir dengan kebangkitan rakyat pada Ogos 2024.

Rakyat Bangladesh turut mengundi "ya" dalam referendum mengenai pembaharuan perlembagaan yang diadakan serentak dengan pilihan raya parlimen itu.

Pembaharuan berkenaan akan memandu hala tuju politik masa depan negara bagi memastikan penyalahgunaan kuasa pada masa lepas tidak berulang.

Peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 59.44 peratus, lapor agensi berita rasmi Bangladesh Sangbad Sangstha yang memetik kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya pada Jumaat.

Negara yang mempunyai 175 juta penduduk itu mempunyai lebih 127 juta pengundi berdaftar.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523872