JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Bunuh Di Kepong: Mangsa Wanita Alami 89 Kesan Tikaman, Luka Pertahan Diri - Polis

13/02/2026 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Polis mengesahkan sebanyak 89 kecederaan dipercayai kesan tikaman dan luka mempertahankan diri ditemukan pada badan seorang wanita yang dibunuh suaminya dalam kejadian di SPK Damansara, Kepong di sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata perkara terbabit diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan semalam di Hospital Kuala Lumpur.

“Terdapat 89 kecederaan pada badan dan leher isteri manakala suaminya mengalami 10 kecederaan.

“Mayat mangsa dituntut oleh waris semalam untuk proses pengebumian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Fadil berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Isnin depan untuk tindakan lanjut.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki menikam isterinya sebanyak 13 kali sebelum bertindak membunuh diri dipercayai kerana perselisihan faham dalam kejadian pada Rabu lepas di sebuah rumah di Sunway SPK Damansara, di Kepong. 

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata hasil pemeriksaan polis di tempat kejadian menjumpai mayat lelaki berusia 54 tahun dengan kesan tikaman di bahagian leher, manakala satu mayat wanita berumur 52 tahun dengan kesan kecederaan tikaman di beberapa bahagian badan.

Dalam perkembangan berasingan, Fadil berkata suspek kes bunuh wanita gelandangan di hadapan sebuah sekolah menengah di Jalan Sentul di sini, Isnin lepas, dipercayai tidak siuman. 

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 46 tahun itu mengalami masalah mental dan kini direman enam hari hingga 15 Feb ini, sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Isnin depan.

“Setakat ini kita belum dapat mengenal pasti motif kejadian dan punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat hentakan objek tumpul,” katanya dan menambah sembilan saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan. 

Sebelum ini, media melaporkan seorang penganggur lelaki warga tempatan berusia 46 tahun ditahan di sekitar Sentul pada Isnin lepas bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang wanita yang dipercayai dibunuh di hadapan sebuah sekolah menengah di Jalan Sentul.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523768