JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Perak Kenal Pasti 42 Hotspot, 32 Blackspot Sepanjang Op Selamat 25

13/02/2026 03:01 PM

TELUK INTAN, 13 Feb (Bernama) -- Polis Perak akan meningkatkan pemantauan di 42 kawasan hotspot dan 32 kawasan blackspot bagi meminimumkan kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang Op Selamat 25 sempena sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan.

Timbalan Ketua Polis Perak DCP Mohammad Azlin Sadari berkata antara lokasi hotspot (kawasan sering berlaku kesesakan) yang terlibat adalah di Jalan Kuala Kangsar (Ipoh-Butterworth), Jalan Sultan Iskandar Shah (pusat bandar raya), Jalan Kamunting - Batu Kurau, lampu isyarat Pekan Bidor, Kilometer (KM) 8 hingga KM9 Jalan Maharajalela, lampu isyarat Pekan Batu Gajah serta lampu isyarat Simpang Empat Hutan Melintang.

Beliau berkata kawasan blackspot (kawasan sering berlaku kemalangan serius) yang dikenal pasti pula seperti di Jalan Keramat Pulai (Ipoh-Cameron Highlands), Simpang Felda Sungai Behrang, KM25 Jalan Ipoh-Lumut, KM Jalan Teluk Intan-Bidor, Jalan Selama-Taiping serta Jalan Pusing-Batu Gajah (Sekolah Kebangsaan Convent).

"Enam kesalahan trafik yang dikenal pasti menjadi penyumbang kemalangan jalan raya antaranya memandu melebihi had laju serta memandu di lorong kecemasan.

"Selain itu, kesalahan seperti memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat serta menggunakan alat komunikasi semasa memandu turut menjadi penyumbang kemalangan jalan raya semasa musim perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina 2026 di Plaza Tol Teluk Intan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif WCE Lyndon Alfred Felix, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad Azlin berkata seramai 555 pegawai dan anggota ditugaskan bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang Op Selamat 25 yang berlangsung selama lima hari bermula Ahad ini.

Sementara itu, Lyndon dalam ucapannya berkatap pihaknya menjangkakan lonjakan trafik harian mencecah kira-kira 160,000 kenderaan iaitu peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding tahun sebelumnya sepanjang musim perayaan.

Beliau berkata peningkatan ketara itu didorong oleh cuti persekolahan sempena musim perayaan serta jangkaan permulaan minggu pertama Ramadan yang jatuh serentak dengan sambutan Tahun Baharu Cina. 

"Dari segi operasi, pihak WCE telah membuat persediaan rapi dengan mengaktifkan lorong simpanan di plaza tol laluan utama seperti Hutan Melintang, Teluk Intan, Lekir dan Taiping Selatan bagi melancarkan transaksi tol pada waktu puncak. 

"Pusat Kawalan Trafik akan beroperasi 24 jam dengan kekuatan 20 pegawai trafik serta 60 anggota peronda WCE patrol yang ditugaskan untuk memantau aliran trafik dan memberikan tindak balas kecemasan pantas terhadap sebarang insiden di lebuh raya," katanya.

Lyndon berkata seramai 230 petugas tol akan ditempatkan setiap hari di kesemua 14 plaza tol WCE yang beroperasi dengan pertambahan kakitangan sekitar 25 peratus daripada kapasiti sedia ada sebagai langkah bagi memastikan kelancaran transaksi dan pengurusan tol di lorong plaza, sekali gus mengurangkan risiko kesesakan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523601