JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Melaka Rampas 820 Tong Gas Bernilai Lebih RM500,000

12/02/2026 07:43 PM

MELAKA, 12 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merampas 820 tong gas dianggarkan bernilai RM583,794.60 dalam dua serbuan berasingan di Telok Mas di sini, semalam.

Pengarah KPDN Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata dalam serbuan pertama kira-kira 9 malam, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 40-an dan 50-an bagi membantu siasatan.

“Serbuan menemukan 524 tong gas petroleum cecair pelbagai jenama dengan 191 tong berisi yang dianggarkan bernilai RM476,280.60 disimpan di tempat tidak dilesenkan.

“Kita turut merampas lima lori disyaki digunakan untuk mengalihkan barang kawalan itu ke tempat tidak dilesenkan Pengawal Bekalan,” katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDN di Krubong, di sini hari ini.

Mohd Hazimin berkata serbuan kedua menemukan 296 tong gas pelbagai jenama dengan 160 tong daripadanya berisi bernilai RM107,514 serta empat lori satu tan. 

Beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia 40-an ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen atau kebenaran pengawal untuk menjalankan urus niaga barang kawalan.

Kes siasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan serta menjalankan urus niaga barang berjadual tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan. 

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523338