KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- YH Jewellery Corporation Sdn Bhd melantik Evolve Capital Advisory sebagai penasihat kewangan selain bekerjasama dengan MCI Capital Sdn Bhd bagi pengembangan serantau menerusi operasi modal dan memajukan strategi penyenaraian di pasaran saham Nasdaq.
Menurut perjanjian kerjasama itu, Evolve Capital bertanggungjawab penuh untuk usaha operasi modal dan perundingan strategik bagi YH Jewellery, sebuah syarikat terkemuka dalam perdagangan emas dan perhiasan di Malaysia.
Tanggungjawab itu termasuk merancang pelan pembiayaan, strategi penggabungan dan pengambilalihan (M&A), menilai pematuhan penyenaraian dan mengoptimumkan struktur modal.
“Evolve Capital akan menyesuaikan penilaian laluan penyenaraian alternatif yang terbaik untuk YH Jewellery dan memastikan syarikat itu menyertai landskap modal antarabangsa dengan teliti.
“MCI Capital pula akan memberi sokongan kewangan menyeluruh untuk tujuan pengembangan luar negara YH Jewellery dan perbelanjaan berkaitan dengan penyenaraian di Amerika Syarikat (AS) menerusi Dana IPO Asia bernilai RM250 juta,” menurut kenyataan syarikat itu.
Pengerusi YH Jewellery Johnny Au Yong menyifatkan kerjasama itu bukan setakat satu pencapaian yang signifikan dalam sejarah penubuhan syarikat selama 70 tahun tetapi turut menjadi langkah penting ke arah mencipta ekosistem emas dan perhiasan paling dipercayai di Asia Tenggara.
“Berikutan semakin banyak pelabur global melihat emas sebagai aset strategik utama, kami berharap dapat memanfaatkan modal antarabangsa untuk meningkatkan daya saing jenama Malaysia dan mempamerkan nilai jenama YH Jewellery di (pasaran) Nasdaq, pentas global untuk teknologi dan inovasi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya Airina Leow berkata menerusi kerjasama MCI Capital dan Evolve Capital, syarikat berkenaan optimis dapat mengoptimumkan struktur syarikat selain bersedia untuk fasa pertumbuhan seterusnya.
Beliau berkata pengukuhan asas modal syarikat akan membantu dalam pengembangan kapasiti pengeluaran, meningkatkan pelaburan teknologi dan memperbaiki kecekapan operasi secara menyeluruh.
“Dalam pasaran yang makin kompetitif, kami perlu terus memperluas kehadiran pasaran dan meningkatkan nilai produk serta perkhidmatan kami,” katanya.
Pengasas dan Rakan Pengurus MCI Capital Datuk Cannis Chan berkata Dana IPO Asia yang diberikan untuk menyokong syarikat Malaysia yang cemerlang dalam usaha untuk mengakses modal global di pasaran seperti Nasdaq dan seterusnya, akan memberi manfaat kepada pasaran tempatan selain mengukuhkan ekosistem modal Malaysia.
Pengasas dan CEO Evolve Capital Jerry Chua berkata sebagai penasihat kewangan, syarikat itu akan bekerjasama rapat dengan YH Jewellery untuk meneliti peluang pembiayaan dan M&A selain memastikan mereka bersedia sepenuhnya untuk penampilan pertama di pasaran modal global terkemuka seperti Nasdaq.
-- BERNAMA