AM

PM Anwar Pengerusikan Mesyuarat MB Dan KM, Perkukuh Penyelarasan Pusat-negeri

10/02/2026 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-148 di Bangunan Parlimen di sini bagi memperkukuh penyelarasan gerak kerja antara pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata mesyuarat itu memberi tumpuan kepada usaha mempererat kerjasama kedua-dua peringkat kerajaan, khususnya dalam penyelarasan dasar serta pelaksanaan inisiatif pembangunan secara bersama yang lebih tersusun dan berkesan.

Anwar turut menegaskan setiap dasar serta inisiatif pembangunan yang dilaksanakan perlu memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat.

“Penekanan turut diberikan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat, agar setiap keputusan dan perancangan yang digariskan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang nyata dan dirasai secara langsung oleh rakyat, terutamanya golongan yang memerlukan,” katanya.

Mesyuarat berkala itu menjadi platform penting untuk menyelaras isu berkepentingan nasional serta memantapkan hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522344